malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR S'gor mula memilih, Azmin enggan ulas peluang
ADS

PEMILIHAN PKR | Masuk minggu keempat pemilihan PKR, penyandang jawatan timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali enggan mengulas peluangnya untuk mempertahankan jawatan itu daripada saingannya Rafizi Ramli.

Ketika ditemui pemberita dalam satu program di Petaling Jaya, Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi hanya menggesa semua pihak menghormati proses pemilihan.

"Ia (pemilihan parti) masih berjalan. Kita perlu hormat proses itu," katanya ringkas ketika diminta mengulas pemilihan di Selangor setakat ini.

Pemilihan PKR peringkat negeri itu bermula hari ini melibatkan sembilan daripada keseluruhan 22 cabang.

Sembilan cabang itu adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja and Sepang, melibatkan lebih 108,000 anggota.

Baki 13 cabang akan mengundi pada 21 dan 28 Oktober ini.

Azmin kini dicabar sengit oleh Rafizi bagi jawatan nombor dua itu, dengan kedua-duanya mendapat undi yang tidak jauh berbeza.

Keputusan awal yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR Khamis lalu menunjukkan Azmin mendapat 19,584 undi manakala Rafizi kurang satu undi, iaitu 19,583.

Selaku pengerusi PKR Selangor dan bekas menteri besar, pemerhati menjangka 249,580 anggota di negeri itu akan menjadi kunci untuk Azmin mendahului Rafizi.

'Trend baru pengundi di PD'

Sementara itu, Azmin menyifatkan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di PRK Port Dickson semalam sebagai trend baru sokongan terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Port Dickson kerana menyokong dan mengukuhkan kerajaan HARAPAN dan menunjukkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dan ini adalah kemenangan unik kerana mendapat sokongan semua kaum di Port Dickson dan ini menandakan trend baru dan keyakinan rakyat terhadap HARAPAN," katanya lagi.

 

 

Lihat Komen