malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Itu ucapan biasa, tapi BERSIH berhak kritik'
ADS

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menjelaskan BERSIH berhak mengkritik ucapan beliau ketika berkempen sempena pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, baru-baru ini.

Menurutnya, ucapan yang dibuat ketika berkempen untuk calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah ucapan biasa.

"Bagi saya ucapan itu adalah ucapan biasa tetapi BERSIH berhak untuk mengkritik dan kita mendengar kritikan mereka," katanya kepada media selepas majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada pesara tentera peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan BERSIH yang menasihatkan para menteri daripada berkempen sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk calon di PRK Port Dickson bagi memastikan persaingan yang adil.

Ia susulan ucapan Mohamad di kem tentera di Port Dickson yang dihadiri oleh Anwar.

ADS

Ucapannya dilaporkan membayangkan bahawa veteran tentera akan beruntung jika anggota parlimen Port Dickson akan menjadi perdana menteri pada masa akan datang.

Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng berkata kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat.

Sementara itu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, sekiranya Anwar menang dan sebagai bakal perdana menteri sudah tentu beliau akan berusaha untuk membantu kawasan Port Dickson.

"BERSIH bebas mengkritik, juga badan-badan lain. Inilah kerajaan baru dan kita mendengar.

"Jika calon kita menang sudah tentu dia ada usaha-usaha tertentu sekurang-kurangnya di kawasan parlimen Port Dickson kalau tidak di seluruh Malaysia pun," katanya yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen