Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menafikan mesej yang tersebar di media sosial yang mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menggantikan tempat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didiagnosis menghidap kanser pankreas, sebagai menteri dalam negeri.
Terdahulu, BERSATU berkongsi tangkap layar mesej berkenaan dengan tertera perkataan "Fitnah" di Facebook rasminya.
Menurut mesej itu, Anggota Parlimen Sungai Petani dan ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul akan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah.
Mesej itu juga mendakwa Muhyiddin bakal meletakkan jawatan kerana faktor kesihatannya.
Bagaimanapun, Muhyiddin, yang juga merupakan presiden BERSATU, hadir berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson, semalam.
Sebelum itu, Muhyiddin juga sempat mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet sebagai menggantikan Dr Mahathir yang tidak dapat hadir kerana berada di Bali menghadiri persidangan antarabangsa.
Sementara itu, sumber BERSATU berkata, Muhyiddin yang membuat kemunculan mengejut di Port Dickson semalam dilihat "steady".
Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, itu merupakan kali pertama beliau berucap di tempat awam selama tiga bulan kerana faktor kesihatannya.
Sementara itu, Johari mengakui mengadap Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sabtu lalu.
"Ya, saya ada mengadap Sultan Kedah, tapi ia untuk berbincang pelbagai isu berhubung pentadbiran negeri dan bukan saja tentang jawatan menteri besar.
"Tentang jawatan menteri besar, kalau ada rezeki, jadilah," katanya kepada Utusan Online.
Seteru politik Dr Mahathir sering menuduh perdana menteri itu mahu membuka jalan untuk anaknya, Mukhriz menjadi perdana menteri dan ia merupakan sebab hubungan beliau dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi keruh.
Dr Mahathir kini adalah pengerusi BERSATU, sementara Mukhriz pula timbalan presiden.