malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ahli Parlimen Labuan sahkan keluar Umno
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 11:13 AM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mengesahkan bahawa beliau telah meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Dalam satu kenyataan hari ini, Rozman mengumumkan bahawa beliau telah membuat keputusan itu kerana beliau mahu memupuk hubungan yang lebih baik dengan kerajaan yang dipimpin oleh WARISAN dan pembangunan yang lebih baik untuk wilayah persekutuan Labuan.

Katanya, demi masa depan Labuan dan kesejahteraan rakyat Labuan, hari ini beliau mengumumkan keputusannya untuk menyertai WARISAN walaupun beliau sendiri tidak mempunyai masalah dan untuk menjadi ahli parlimen pembangkang.

“Hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu kerana usaha itu adalah wajar untuk pembaharuan yang bermula dengan Ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti yang berpusat di Sabah.

“Saya percaya langkah ini akan menjadi lembaran baru ke arah hubungan di antara Labuan dan Sabah yang lebih intim dan produktif serta bakal membawa faedah kepada kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar di Labuan hari ini.

Rozman turut memberitahu, beliau juga mahu bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin di Sabah dan Sarawak memperjuangkan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Saya berpendapat satu fasa baru dalam hubungan politik, ekonomi dan pentadbiran yang lebih erat di antara Labuan dan Sabah harus diwujudkan.

“Selain itu, keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen lain memerlukan saya membuat keputusan ini,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Rozman, 54, yang menjadi Anggota Parlimen Labuan sejak 2013, berkata beliau membuat keputusan meninggalkan Umno setelah mengambil kira peri pentingnya menjamin kesinambungan agenda pembangunan ekonomi bagi Labuan.

Rozman adalah setiausaha Umno Labuan sebelum beliau mengambil alih jawatan ketua bahagian parti itu daripada bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal.

“Memandangkan perubahan landskap politik yang berlaku, penyertaan saya dalam Warisan hari ini juga adalah bagi memenuhi kehendak rakyat … untuk memastikan Labuan menikmati pembangunan yang seiring dengan wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Labuan, yang turut dihadiri timbalan presiden Warisan Datuk Darrel Leiking dan naib presiden parti itu, Datuk Junz Wong.

Rozman berkata keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menyertai parti pemerintah Sabah itu juga mencerminkan pendirian beliau yang tidak mementingkan diri sendiri dalam berpolitik, tetapi sebaliknya bagi memenuhi kehendak rakyat.

Rozman berkata beliau akan bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan di Labuan dan Sabah bagi memastikan Labuan terus mendapat perhatian daripada kerajaan persekutuan.

“Saya sudah buat janji temu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan saya akan berjumpa beliau untuk memaklumkan tentang penyertaan saya ke dalam Warisan serta berbincang tentang pembangunan ekonomi Labuan dan pentingnya bekerjasama dengan kementerian beliau,” kata beliau.

Rozman berkata, seperti Sabah, Labuan juga memerlukan pemerdayaan bagi membolehkannya bergerak ke hadapan, malah lebih cepat lagi, dalam arus perdana pembangunan.

“Pada era Malaysia Baharu ini, kami percaya adalah lebih mudah bagi kami untuk memohon agar keperluan kami (dari segi ekonomi) dipenuhi untuk kami terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Rozman berkata WARISAN menjadi parti pilihannya berikutan kedudukan Labuan yang begitu dekat dengan Sabah dan demi kepentingan pembangunan sosioekonomi.

Anggota Parlimen Labuan itu juga berharap Umno akan terus memainkan peranannya sebagai parti pembangkang bagi membantu dari segi pembangunan.

Katanya, Labuan perlu terus menjadi sebuah wilayah persekutuan, bertentangan dengan spekulasi yang tersiar dalam sebuah akhbar harian, dan oleh itu pulau bebas cukai ini perlu terus diberi perhatian.

Sementara itu, Leiking berkata Rozman diterima menganggotai WARISAN berkuatkuasa serrta-merta dan beliau berharap langkah itu akan membawa perubahan politik di Labuan dan Sabah.

“Tiada tawaran dibuat kepada beliau untuk menyertai WARISAN, tetapi semata-mata demi masa depan Labuan,” katanya.

Junz Wong pula mengalu-alukan kemasukan Rozman ke dalam WARISAN dan menyifatkan langkah anggota parlimen itu sebagai keputsuan bijak bagi kebaikan Labuan, terutama dari segi pembangunan ekonomi pulau bebas cukai ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen