malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Orang Asli bantah lombong emas di hutan simpan Bukit Ibam
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 12:11 PM
Dikemaskini: 4:13 AM
ADS

Lebih 50 penduduk kampung Orang Asli Kampung Jenit, Bebar, Pekan membantah cadangan perlombongan emas dan bijih timah yang hendak dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Bukit Ibam berhampiran perkampungan itu kerana dikhuatiri akan menjejaskan sumber bekalan air dan pendapatan mereka.

Tok Batin Kampung Jenit, Jeleta Jelan, 52, berkata kebanyakan 24 keluarga yang terdiri lebih 80 orang penduduk Suku Jakun di kampung itu bergantung sepenuhnya dengan hasil hutan serta tanaman getah untuk menyara hidup.

“Kami sudah tiga generasi tinggal di kampung ini dan selama ini mendapat sumber bekalan air dari Sungai Karek iaitu anak Sungai Timun di Hutan Simpan Bukit Ibam kerana tiada bantuan bekalan air bersih daripada kerajaan.

"Jika kawasan tempat tinggal kami ini diteroka untuk menjalankan aktiviti perlombongan bijih dan emas, sudah tentu pencemaran akan berlaku dan kami kehilangan sumber bekalan air untuk kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membawa Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil meninjau kawasan yang dipercayai hendak dijadikan kawasan perlombongan berkenaan.

Menurut Jeleta, orang kampung menyedari tentang pencerobohan itu pada 4 Ogos lalu, setelah mendengar bunyi jentera berat di kawasan berkenaan dan bertanyakan kepada beberapa individu di situ tentang tujuan mereka memasuki kawasan hutan simpan tersebut.

“Mereka memaklumkan sedang menguji sampel tanah di kawasan itu untuk melakukan perlombongan menyebabkan kami menghalau mereka dan membuat sekatan beberapa hari kemudian untuk menghalang mereka daripada menceroboh secara senyap-senyap,” katanya.

Sehubungan itu Jeleta merayu pihak yang berkenaan termasuk kerajaan negeri Pahang supaya dapat menyiasat tentang perkara tersebut dan menghalangnya demi kelestarian hidup Orang Asli di kawasan itu yang selama ini terpinggir daripada menerima segala bentuk bantuan daripada kerajaan.

Sementara itu Tengku Zulpuri berkata pihak kementerian akan menyiasat perkara itu termasuk sama ada aktiviti perlombongan yang hendak dijalankan itu dilakukan secara sah atau tidak.

"Berdasarkan apa yang diceritakan itu dan tinjauan yang dilakukan hari ini kami mendapati kawasan yang dinyatakan sebagai tempat perlombongan itu, merupakan kawasan rintis untuk diambil sampel galian.

"Kami tidak pasti ia dijalankan dengan kebenaran atau tidak dan akan rujuk perkara ini dengan Jabatan Perhutanan Negeri. Jika ia sah sekalipun, ia perlu dilakukan dengan kerjasama atau budi bicara terhadap nasib Orang Asli di kawasan itu dan pastikan mereka tidak terjejas,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen