malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Individu berpengaruh Perlis 'payung' Salafi Jihadi
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 12:04 PM
Dikemaskini: 4:26 AM
ADS

Enam suspek daripada kumpulan Salafi Jihadi yang ditahan pihak polis di Perlis pada 24 September lalu dipercayai disokong beberapa individu berpengaruh di Perlis, lapor media tempatan.

Memetik sumber, Utusan Malaysia melaporkan atas sebab itu mereka berani mengembangkan dakyah yang kononnya mengikut acuan al-Quran dan sunah sehingga didakwa merancang mewujudkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara.

Suspek yang terdiri daripada lima warga Eropah serta seorang warga Amerika Syarikat (AS) juga didakwa ada yang terlibat dengan kegiatan ekstremisme di negara asal mereka.

“Dua suspek warga Eropah itu dipercayai terlibat dengan kumpulan ekstemis di negara asal, manakala warga AS itu pula mempunyai hubungan dengan seseorang yang disiasat pihak berkuasa negara asalnya kerana terlibat dengan elemen IS di Syria.

"Seorang lagi suspek warga Asia Barat yang ditahan di Kuala Lumpur turut merancang membina sebuah sekolah agama bermodelkan Dar Al Hadith di Dammaj, Ya­man serta memperoleh dana dari beberapa negara di benua asalnya," lapor Utusan Malaysia.

Berkahwin wanita tempatan

Sumber dipetik laporan itu berkata beberapa lokasi seperti kediaman, premis dan madrasah sekitar negeri tersebut turut dijadikan tempat pengajian kitab yang boleh menyuburkan kefahaman radikl serta ekstrem sebagai usaha mengukuhkan fahaman Salafi Jihadi.

"Mereka mengkafirkan sesama umat Islam yang tidak sealiran fikrah dengan perjuangan mereka sehingga melabelkan sebagai bidaah, taghut (tidak mengikut hukum Allah) dan tidak Islamik.

“Mereka juga berkahwin dengan wanita tempatan supaya dapat peluang tinggal lebih lama di Malaysia dan berusaha memohon kerakyatan secara tetap," katanya, petik laporan itu lagi.

Pada 24 September lalu, lapan individu termasuk seorang warga tempatan ditahan Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor, kerana disyaki terlibat dalam tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan persekutuan.

Kesemua suspek mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis, sama ada sebagai pelajar, bekas pelajar atau bekas tenaga pengajar.
 

Lihat Komen