Pengiklanan

    4 kawasan di Perlis terdedah air pasang besar

    (Dikemaskini )
    Berita

    Empat kawasan muara dan kuala sungai di Perlis terdedah kepada risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku selama tiga hari bermula esok.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana; dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri, Ruzaini Rais berkata lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan perlu berwaspada termasuk menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat.

    Katanya kawasan berkenaan ialah Kuala Sanglang, Kuala Sungai Padang, Kuala Sungai Baru dan Kuala Perlis.

    Beliau mengulas kenyataan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADM) Jabatan Perdana Menteri semalam mengenai fenomena tersebut.

    Menurut kenyataan itu air pasang tertinggi dijangka berlaku pada 10 hingga 12 Oktober dengan bacaan 4.84 hingga 4.91 meter dan risiko berlaku banjir di pantai barat semenanjung Malaysia adalah tinggi jika fenomena itu bertembung dengan hujan lebat dan angin kencang.

    Ruzaini berkata kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan telah diarah membuat pemantauan terutama di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

    “Saya harap penduduk yang tinggal di kawasan berlaku air pasang besar melaporkan kepada pihak-pihak berwajip untuk dibantu dan jika diarahkan berpindah, mereka hendaklah mematuhinya,” tambahnya.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih