Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membuat bantahan awal terhadap permohonan seorang pengundi Port Dickson yang mempersoalkan kesahihan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil itu.
Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bersama-sama dengan Shamsul Bolhassan dari AGC memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.
Sebaliknya, penguni itu, Noraziah Mohd Shariff sepatutnya memfailkan perkara atau kes itu menerusi petisyen pilihan raya yang akan didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya.
Bantahan itu dibuat oleh AGC yang bertindak mewakili Lembaga Pengampunan selain permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan bahawa beliau tidak berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.
Hakim Datuk Azizah Nawawi kemudian menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal itu dan permohonan mengketepikan saman berkenaan memandangkan peguam Noraziah M Reza Hassan, baru menerima dokumen tersebut semalam.
Semalam, Peguam J Leela yang bertindak bagi pihak Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya memohon untuk mengketepikan Noraziah atas alasan dia tidak mempunyai locus standi dan permohonan berkenaan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.
Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.
Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt ini diadakan memandangkan Anwar akan menjadi calon.
Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.
Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.
Noraziah mengemukakan permohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.
Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.
Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).
Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan.