Persatuan peguam menyatakan rasa kecewa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan tidak komited mengenakan moratarium (penggantungan sementara) ke atas Akta Hasutan 1948 sementara menunggu pemansuhan akta itu.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya berkata, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sekurang-kurangnya boleh mengenakan morotarium ke atas akta itu dalam langkah memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya mereka.
"Kami kecewa. Manifesto HARAPAN menyatakan komitmen untuk menghapuskan akta itu. Jadi saya tidak nampak kenapa ia tidak boleh dilakukan.
"Akta berkenaan boleh dimansuhkan tanpa memerlukan dua per tiga majoriti. Jadi tidak perlu penangguhan lama.
"Sekurang-kurangnya perdana menteri seharusnya mengumumkan moratarium ke atas penggunaan berterusan akta itu oleh pihak polis," katanya kepada Malaysiakini.
Awal hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak dapat memberikan garis masa Akta Hasutan akan dihapuskan.
Menurut beliau, memansuhkan undang-undang itu adalah proses yang memakan masa dan terpaksa dibawa ke Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Latheefa berkata badan awam beberapa kali menggesa moratorium ke atas penggunaan akta berkenaan sementara menunggu pemansuhannya.
"Hanya kerana undang-undang itu masih belum dimansuhkan tidak bererti ia perlu digunakan oleh polis. Ini tanggapan yang salah," katanya.
Peguam Syahredzan Johan pula bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa penghapusan Akta Hasutan akan mengambil masa dan boleh dicabar oleh Dewan Negara yang didominasi BN.
"Namun pada masa yang sama, kerajaan perlu tampil dan menyatakan bahawa mereka menentang penggunaan akta itu meskipun ia masih undang-undang yang sah.
"Sebab itu badan awam menggesa moratarium dikenakan ke atas akta itu," katanya.
Sementara itu, peguam Fadiah Nadwa Fikri membidas kenyataan Dr Mahathir dan mendakwa ia menunjukkan bahawa janji HARAPAN untuk menghapuskan semua undang-undang yang menindas termasuk Akta Hasutan hanyalah retorik.
"Ketiadaan komitmen untuk merumuskan langkah berkesan menghapuskan Akta Hasutan adalah bukti kerajaan tidak menghormati prinsip demokratik yang merupakan kunci utama dalam membina Malaysia yang progresif.
"Kerajaan boleh mengenakan moratorium ke atas akta itu jika mereka mahu," katanya.
Fadiah yang juga merupakan aktivis berkata kenyataan Dr Mahathir seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat untuk menghargai kebebasan mereka.
"Kebebasan tidak pernah didapatkan secara percuma, ia perlu diperjuangkan, dan kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai tugas bersama untuk meneruskan perjuangan bagi demokrasi sebenar meskipun apa pun cabarannya," katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mempertahankan Akta Hasutan yang menurutnya diperlukan bagi mengelakkan huru-hara.
Tanpa akta itu, katanya, rakyat Malaysia akan menyebarkan kebencian dan "ekstrimis" akan menggesa penghapusan institusi diraja.
Minggu lalu, perdana menteri itu menggesa polis tidak lagi menahan pihak yang dianggap menghinanya.
Ia susulan penahanan adi Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam di bawah akta berkenaan selepas berkongsi kiriman Facebook yang dianggap menghina Dr Mahathir.