malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anggota kabinet tak boleh kempen waktu kerja - SPR
Diterbitkan:  Oct 7, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 8:53 AM
ADS

PRK PD | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan anggota Kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya hari ini berkata, aktiviti berkempen dalam waktu bekerja merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja.

"Mereka (anggota kabinet) harus peka dengan perbezaan di antara tugas-tugas mereka sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan sebagai anggota ataupun pemimpin parti," katanya lagi.

Tambah Azhar, anggota kabinet tidak seharusnya dan jangan sekali-kali menggunakan aset-aset ataupun fasiliti-fasiliti kerajaan bagi tujuan berkempen.

Jelas beliau, pengumuman projek kemajuan di Port Dickson atau janji sekiranya menang berkemungkinan menjadi satu kesalahan pilihan raya dan boleh dijadikan alasan untuk menidaksahkan pilihan raya dalam apa-apa petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan.

Beri peluang semua calon masuk kem tentera

Mengenai isu kebenaran kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memasuki kem tentera sementara calon Pas tidak dibenarkan, SPR menyarankan agar pihak kem tentera mahupun Kementerian Pertahanan memberikan peluang berkempen yang sama rata kepada semua calon tertakluk kepada apa-apa prosedur keselamatan kem.

"Adalah tidak adil dan saksama sekiranya seseorang calon itu dibenarkan masuk berkempen di dalam kem tentera dan pada masa yang sama calon-calon yang lain tidak dibenarkan berbuat demikian," kata Azhar.

Jelas beliau, tindakan tersebut bercanggah dengan prinsip dan semangat demokrasi dan kewujudan aktiviti berkempen yang adil dan saksama.

Kata Azhar, SPR mengambil perhatian bahawa terdapat aktiviti-aktiviti berkempen setakat ini yang menimbulkan reaksi negatif di kalangan masyarakat dan boleh mencemar proses pilihan raya serta amalan demokrasi yang baik.

PRK Port Dickson 13 Oktober depan bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Anwar, calon Pas Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen