malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Daim turun padang bantu kempen Anwar
Diterbitkan:  Oct 6, 2018 9:18 PM
Dikemaskini: 3:09 PM
ADS

PRK PD |  Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin turun padang bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim di Teluk Kemang hari ini.

Daim hadir bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Daim yang hadir majlis minum petang bersama nelayan tempatan berkata pengundi Port Dickson patut menyokong Anwar kerana beliau mampu menyelesaikan masalah nelayan.

"Lepas ni kalau nak selesaikan masalah, pilihlah Datuk Seri Anwar, kita suruh dia selesaikan masalah, tujuan pilih dia supaya dapat selesaikan masalah tuan-tuan dan puan-puan..

“Jadi pada 13 Oktober ini, beramai-ramai keluar pilih bakal yang amat berhormat... kalau besok dia tak bela, beritahu,” katanya dalam program di Teluk Kemang itu.

Masalah orang tengah

Bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu juga turut membangkitkan masalah orang tengah dalam jualan hasil tangkapan nelayan.

"Baru-baru ini saya pergi Langkawi, nelayan di sana mengadu kepada saya, mereka tangkap ikan dan jual RM4.50 sekilo, sampai Kuala Lumpur harga menjadi RM22 sekilo, jadi pembeli kena bayar banyak tapi nelayan itu hanya mendapat RM4.50.

"Jadi mesti ada benda yang tidak betul, orang yang kerja kuat dapat RM4.50, orang yang tinggal di Kuala Lumpur menjual RM22, jadi orang Langkawi bisinglah, jadi apa dia masalah, masalahnya ialah orang tengah yang kaya," jelasnya.

Menurut Daim lagi, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub supaya dapat mencari jalan menyelesaikan hal tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Anak Nelayan Teluk Kemang, Nurtazar Md Nor membangkitkan masalah nelayan tempatan kepada Azmin Ali misalnya masalah kekurangan jeti menaikkan tangkapan dari laut.

Azmin berjanji akan berbincang hal berkenaan dengan Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

September lalu, Daim menafikan dakwaan hubungan beliau dengan Datuk Seri Anwar tidak pernah baik sejak krisis politik pada 1998.

Daim berkata beliau percaya Anwar akan menjadi perdana menteri.

Semalam, Pengerusi HARAPAN, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan turun berkempen membantu calon PKR dalam pilihan raya kecil Port Dickson, sesuatu yang jarang-jarang dilakukan beliau ketika menjadi perdana menteri.

Lihat Komen