malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Muka masih Umno sudah mahu jadi ketua cabang'
ADS

PEMILIHAN PKR | Calon Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa pemilihan parti itu 'dicemari' dengan anggota-anggota baru dari Umno yang turut bertanding.

Dalam satu program bersama PKR Kelantan hari ini, beliau mengkritik perkara itu dan menggesa anggota memilih mereka yang sudah teruji dan benar-benar jujur bersama parti.

"Jangan yang baru masuk semalam sudah mahu jadi ketua cabang. Ya, mereka ada wang.

"(Tetapi anggota PKR) jangan pilih yang baru masuk sebulan, muka mereka pun masih muka Umno," katanya kepada sejumlah 250 hadirin di Kota Bharu.

Turut hadir adalah Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Kadir dan calon-calon Majlis Pimpinan Pusat iaitu Datuk Saifuddin Abdullah, Amirudin Shari dan Datuk Kamaruddin Jaafar.

Esok anggota PKR negeri itu akan memilih pemimpin parti di peringkat pusat dan juga negeri.

Azmin menggesa anggota PKR Kelantan menolak mana-mana calon yang cuba membeli sokongan mereka dengan wang.

"Tolak dan humban mereka. Kita berjuang 20 tahun tiada wang pun, (tetapi) dengan keringat, semangat dan keyakinan kita.

"Ini yang Umno takut dengan kita. Umno tak takut kita kerana wang, mereka ada lebih banyak wang," katanya yang juga menteri hal ehwal ekonomi.

Ketika ditanya mengenai isu pemberian wang, Azmin berkata beliau tidak mempunyai bukti tetapi membangkitkannya sebagai tanda peringatan agar pemilihan parti tidak tercemar dengan rasuah.

"Pimpinan hari ini tidak akan berkompromi jika ada mana-mana pihak yang terlibat dengan politik wang, sama ada dalam parti atau kerajaan. Kita tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi amaran agar bertanding secara sihat dan dalam semangat kekeluargaan.

Anwar juga berkata PKR tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
 

Lihat Komen