malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saifuddin: Pengaruh Azmin faktor penting HARAPAN menang PRU14
ADS

Pengaruh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memainkan peranan yang sangat penting dalam kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRU ke-14, menurut Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang juga calon anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, ini kerana nama Azminlah yang dijual sepanjang kempen untuk memenangi sokongan rakyat.

"Antara fitnah yang dilontarkan BN ialah kita tak mampu memerintah. Bila kita tonjolkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula (mereka) kata itu cerita lama.

"Maka antara strategi kita untuk beritahu rakyat kita mampu memerintah Putrajaya adalah kerana kita mampu mentadbir Pulau Pinang dan Selangor dengan amat baik.

"Ke mana-mana kita bawa akhbar Selangorkini dan nama yang kita jual untuk beritahu rakyat yang kita mampu memerintah dengan baik adalah nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali," kata Saifuddin (gambar) ketika berucap dalam program Ramah Mesra PKR Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

PKR kini sedang menjalankan pemilihan parti yang mana antara yang menjadi perhatian adalah perebutan kerusi timbalan presiden antara Azmin dan Rafizi Ramli.

PKR Kelantan akan menjalankan pemilihan esok, melibatkan 14 cabang.

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa nama Mahathir dan Anwar ketika itu belum cukup untuk meyakinkan rakyat.

"Memanglah rakyat kenal Mahathir dan Anwar, tetapi mereka kata itu tak cukup. Mereka tanya 'siapa dalam barisan kamu yang layak mentadbir?'

"Ketika itu kita jual nama orang yang di depan kita ini (Azmin). Masa nak menang PRU kita jual nama dia, masa nak pilih timbalan presiden kita tak mahu, tak bolehlah," katanya yang juga menteri luar.

Selain Azmin sendiri, turut hadir ke program itu adalah Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dan barisan kepimpinan PKR Kelantan.

Setakat ini baru dua negeri yang telah menjalani pemilihan iaitu Pulau Pinang dan Johor. Azmin mendahului di kedua-dua negeri itu tetapi dengan perbezaan undi yang kecil.

Lihat Komen