malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh Morais: Tertuduh berbohong babitkan saya - Najib
Diterbitkan:  Oct 4, 2018 8:55 PM
Dikemaskini: 1:22 PM
ADS

Datuk Seri Najib Razak berkata salah seorang tertuduh dalam perbicaraan kes pembunuhan timbalan pendakwa raya mendiang Kevin Morais telah berbohong dengan membabitkan bekas perdana menteri itu dengan jenayah berkenaan.

Dalam suatu kenyataan, bekas presiden Umno menjelaskan pihak berkuasa perlu meminta tertuduh S Ravi Chandaran menamakan nama pegawai penjara yang didakwa menawarkannya bayaran RM3.5 juta dari Najib supaya mengaku bersalah dalam kes itu.

Ravi perlu dikenakan pertuduhan kerana berbohong kepada mahkamah jika gagal berbuat demikian, tegas Najib.

"Saya membaca laporan prosiding mahkamah pada 20 Oktober lalu dan terkejut dengan tuduhan tidak berasas itu.

"Saya juga mengambil maklum dengan sepenuh perhatian bahawa Ravi mendakwa seorang lagi tertuduh, Kolonel R Kunaseegaran telah menawarkan RM1.5 juta dan adik mendiang, Datuk Richard Morais juga telah menawarkan sebanyak RM2 juta bagi objektif yang sama. Suatu senario yang tidak mungkin terjadi.

Kenyataan menjahanamkan, tuduhan pelik

"Tuduhan-tuduhan ini keseluruhannya betul-betul tidak benar dan saya dengan jelas menafikan sepenuhnya. Ia suatu kenyataan yang menjahanamkan dan tidak memberikan sebarang keadilan terhadap mendiang Kevin Morais atau kepada saya sendiri.

"Ravi sangat tidak berhati perut untuk berbohong dengan cara sebegitu bagi mengambil peluang keadaan semasa yang melanda saya dan selanjutnya secara tidak adil menjejaskan reputasi saya," katanya.

Najib menggesa pihak berkuasa mengesan nama pegawai penjara yang dirujuk Ravi tetapi tidak dinamakan itu serta merekod keterangannya bagi menguji dakwaan tertuduh.

"Jika Ravi tidak boleh menyokong dakwaannya, saya menggesa pihak berkuasa untuk mengenakan pertuduhan kepada Ravi kerana berbohong.

"Saya difahamkan pihak peguam pendakwa atau pembelaan dalam kes bunuh ini percaya kepada tuduhan Ravi yang pelik itu.

"Seterusnya, saya diberitahu (sumber) yang boleh dipercayai mendiang Kevin Morais tiada kena-mengena dengan penyiasatan atau penyeliaan kes-kes 1MDB atau SRC. Hal ini dengan mudah dapat dikenal pasti melalui penyiasatan yang sewajarnya," kata Najib.

Ravi, 47 yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) ketujuh perbicaran kes bunuh Morais memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu bahawa dia ditawarkan RM3.5 juta daripada Najib melalui pegawai Jabatan Penjara.

Sebagai maklum balas, Najib menyifatkan laporan Bernama mengenai dakwaan Ravi itu sebagai "mengarut."

R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; S. Nimalan, Ravi Chandaran dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Sentul ke Subang Jaya pada 4 September 2015.

Mayat Morais disimen dalam tong

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Mayat Morais ditemui disimen di dalam tong drum di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Beliau dilaporkan hilang pada 4 September 2015 dan kali terakhir dilihat memandu meninggalkan kondominium di Menara Duta ke pejabatnya di Putrajaya.

Ketika pembunuhan itu berlaku, spekulasi mengaitkan kes itu dengan skandal 1MDB tetapi SPRM telah mengesahkan Morais tidak ada kaitan dengan siasatan 1MDB ketika bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Pendakwaan berkata Kunaseegaran bersubahat membunuh Morais bagi menghalang pertuduhan rasuah terhadap tertuduh daripada diteruskan.

Lihat Komen