malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Boya data tsunami rosak dikaji secepatnya - TPM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kajian menyeluruh termasuk dari segi teknikal akan dilaksanakan secepat mungkin bagi melihat keperluan menggantikan boya mencerap data untuk sistem amaran awal tsunami yang telah rosak.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata alat tersebut penting bagi menghadapi kemungkinan tsunami sekiranya berlaku kejadian gempa bumi di negara jiran yang mungkin turut memberi kesan kepada Malaysia.

"Pada 2004 (gempa bumi Aceh) telah berlaku dan kita mesti mengambil langkah berjaga-jaga dan ini adalah satu yang penting dan mesti dilakukan secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana Keenam dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan.

Dr Wan Azizah turut memuji langkah yang diambil Jabatan Meteorologi Malaysia untuk membuat kajian tersebut setelah mendapati ketiga-tiga boya berkenaan tidak lagi berfungsi.

Media hari ini melaporkan bahawa tiga boya air laut dalam yang digunakan untuk mengumpul data bagi sistem amaran awal tsunami telah dilupuskan memandangkan kesemuanya tidak lagi berfungsi.

Penempatan alat buatan Norway bernilai RM7.2 juta tersebut dilakukan pada 2006 di tiga lokasi iaitu Laut Andaman, Laut Sulu dan Laut China Selatan.

Projek boya tsunami atau tsunameter itu adalah hasil kerjasama Malaysia-Indonesia susulan gempa bumi dan tsunami Aceh 2004 yang mengorbankan lebih 230,000 orang dari 14 negara termasuk Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen