Penyandang Naib Presiden PKR N Surendran mengkritik penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman bahawa polis cuma mengikuti prosedur dalam menjalankan penangkapan di bawah Akta Hasutan.
"Jika beliau terus mengatakan hal-hal sebegini, beliau tidak layak menjadi timbalan menteri.
"Beliau patut mendapatkan suatu salinan manifesto Pakatan Harapan dan membacanya," ciap Surendran yang juga MP Padang Serai di Twitter.
Awal hari ini, Azis berkata polis menangkap Azman Noor Adam, adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam kerana Akta Hasutan masih belum lagi dimansuhkan.
Oleh itu, menurut Azis beliau diberitahu Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun bahawa pihak berkuasa cuma menuruti prosedur sahaja.
Memansuhkan Akta Hasutan merupakan salah satu janji HARAPAN dalam pilihan raya umum ke-14.
Azman ditangkap susulan hantaran media sosial yang mengkritik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menggesa pihak polis supaya berhenti menangkap para pengkritiknya.