malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jangan henti berdoa, bergantung harap kepada-Nya'
Diterbitkan:  Oct 3, 2018 9:43 PM
Dikemaskini: 1:56 PM
ADS

Selepas luahan hati Nooryana Najwa, giliran bapanya Datuk Seri Najib Razak pula menyatakan perasaannya.

Walau tidak menyebut secara khusus, jelas kata-kata bekas perdana menteri itu susulan kepada situasi yang dihadapi keluarganya hari ini.

Dalam hantaran di Facebook kira-kira pukul lapan malam tadi, beliau berpesan agar jangan berhenti memanjatkan doa kepada Tuhan.

"Allah Maha Mendengar, walau sehalus mana bisikan dalam hati yang ikhlas.

"Jadi jangan pernah berhenti berdoa dan bergantung harap kepada-Nya," katanya.

Pagi ini isterinya Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan buat kali ketiga berhubung skandal 1MDB, selepas melalui proses sama selama 13 jam minggu lalu.

Lima jam kemudian, beliau dilaporkan ditahan oleh SPRM dan akan didakwa di mahkamah esok.

Najib pula hadir ke unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM di Menara KPJ, Kuala Lumpur.

Beliau disiasat selama tiga jam, berhubung skandal 1MDB, dan juga akan dibawa ke mahkamah esok.


BacaLepas tahu Rosmah ditangkap Nooryana berwuduk dan bertahajud


Petang tadi Nooryana dalam hantaran di Instagram menyifatkan penahanan ibunya sebagai sesuatu yang melampau batas.

"Saya boleh terima jika tindakan diambil ke atas insan yang pernah memegang tampuk pemerintahan, tetapi turut melibatkan isteri kesayangannya adalah tindakan yang melampaui batas.

"Dua minggu lalu, anda menyerbu rumah ibunya dan hari ini anda mereman isterinya dan bercadang mendakwanya pada hari yang sama suaminya dijadual hadir ke mahkamah," katanya yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard di Boston, AS.

Menantu Rosmah pula iaitu penyanyi Fazley Yaacob mendoakan agar semua urusannya dipermudahkan.

“Beliau telah ditahan. Sebagai anak dan menantu kami tetap mendoakan beliau. Simpati masih tetap wujud walau apa pun berlaku," katanya lagi.
 

Lihat Komen