malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin bukan Islam PAS pertahan pakaian India Hadi
ADS

Bola telah bertukar kaki.

Selepas mengaitkan calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepercayaan bukan Islam, PAS pula kini terpaksa tampil mempertahankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu hampir sama.

Dalam sidang media harian di kawasan parlimen Port Dickson, Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) mempertahankan tindakan Hadi menerima pakai pakaian dan perhiasan India.

Beliau menegaskan ia dikalungkan hanya sebagai tanda penghormatan.

"Perkara itu tidak ada kena mengena dengan keagamaan, ia hanya satu budaya dan tradisi kami sahaja.

"Ini adalah cara kami untuk memberi penghormatan kepada orang tertentu," kata pengerusi DHPP N Balasubramaniam dalam sidang media di markas PAS, di Teluk Kemang, hari ini.


Baca: Hadi selar oportunis sembahyang, tapi 'menari Hindu, Buddha'


Pada 14 September lepas, DHPP mengadakan Konvensyen Nasional pertama sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Terengganu.

Pada konvensyen itu, Balasubramaniam sempat mengalungkan selendang dan perhiasan India kepada Hadi serta Datuk Iskandar Samad dan ketua Dewan Ulama Datuk Mahfodz Mohamed.

Iskandar yang hadir dalam sidang media ini turut menafikan kaitannya dengan agama.

"Kita nafikan perkara ini ada kaitan dengan agama tertentu, namun ia hanya istiadat orang India sahaja," katanya.

Ketika mengkritik Anwar, Hadi dalam kempennya di Port Dickson beberapa hari lepas menegaskan jawatan tidak boleh diberikan kepada “orang yang oportunis”.

"Tempat tok lebai dia sembahyang, tempat Benggali pakai serban Sikh, tempat kuil Hindu menari Hindu, tempat Buddha menari Buddha," beliau dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen