Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyeru rakyat Malaysia agar bekerja keras untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi menunjukkan ekonomi negara ini kembali pulih dan sekali lagi menjadi 'Harimau Asia'.
Perdana Menteri berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang sekembalinya daripada lawatan kerja ke London dan New York.
Beliau berkata ramai pelabur asing menyatakan minat mereka untuk melabur ke Malaysia dan oleh itu rakyat tidak sepatutnya melepaskan peluang berkenaan.
"Mereka (pelabur asing) telah buat pengakuan mereka akan ada saat-saat memerlukan pegawai-pegawai terlatih (seperti) engineer dan pekerja lain yang dikehendaki supaya mereka dapat keluarkan barangan canggih bernilai tinggi.
"Oleh itu saya rayu semua kita rakyat buat persediaan dan jangan hampakan mereka yang akan datang menolong negara dengan melabur," kata Dr Mahathir di hadapan kira-kira 50 penyokong yang hadir untuk menyambut kepulangan beliau.
Mahathir tiba dari London selepas melengkapkan lawatan kerja selama sembilan hari ke United Kingdom.
Di New York, beliau berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 pada Jumaat lalu.
Dilaporkan bahawa perdana menteri juga mengadakan pertemuan dua hala dengan tiga pemimpin dunia - Perdana Menteri Britain Theresa May, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di New York semasa lawatan tersebut.
Mahathir diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali an rombongan termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, dan pegawai kanan kerajaan.