Setelah dihentam oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Twitter baginda semalam sebagai ‘budak’, Anggota Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin hari ini tampil membela Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau telah membaca kenyataan Syed Saddiq yang menyifatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “the perfectionist” dan menyifatkannya sebagai adil dan berpatutan.
Tun M, the perfectionist ????
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) September 30, 2018
My story. pic.twitter.com/a3OSobwbKV
“Itu pandangan peribadinya. Mungkin setengah pihak tidak begitu selesa dengan istilah Mr Perfectionist... mungkin istilah itu agak hyperbolic,” katanya dalam satu kenyataan media.
Semalam Tunku Ismail menulis: “Orang yang pentingkan kesempurnaan. Sama ada kamu berkhayal atau taasub?
“Kamu dalam perut mak lagi masa itu, budak. Buat kajian sikit.”
Perfectionist? It's either you’re delusional or obsessed. You were still in your mother's belly, kid. Do some research.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 1, 2018
Baginda tidak menyebut khusus pihak yang dimaksudkannya. Bagaimanapun terdapat media seperti Free Malaysia Today yang mentafsirkannya merujuk kepada Syed Saddiq.
Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa mengakui dulu sebelum wujud Pakatan Harapan dan semasa Dr Mahathir bersama BN, dirinya agak kritikal terhadap pemimpin berkenaan.
“In certain parts, saya silently admired his courage and his boldness dalam isu -isu luar negara.
“Sekarang saya ada pengalaman sedikit dalam beberapa occasion bersama dalam satu majlis dengan YAB PM. Saya tak mahu guna istilah perfectionist for I only reserve such a term to God .
“Tapi saya boleh setuju dengan kenyataan-kenyataan lain YB Menteri. Bagi saya, kenyataan YB Menteri fair and reasonable (adil dan berpatutan).
“Dan saya ingin tambah... as far as I am concerned, Dr Mahathir is simply awesome (mengagumkan) and genius (sangat pintar).
Untuk rekod Mohamed Hanipa adalah bekas peguam dan pemimpin PAS sejak tahun 1980an sebelum bersama AMANAH dan HARAPAN pada tahun 2015.