malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RPK mohon maaf kenyataan serban Amar Singh
Diterbitkan:  Oct 1, 2018 9:09 PM
Dikemaskini: 1:14 PM
ADS

Penulis blog Raja Petra Kamaruddin hari ini memohon maaf kepada masyarakat Sikh dan Datuk Seri Amar Singh berhubung kenyataannya tentang serban yang dipakai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

"Saya diberitahu bahawa serban Sikh adalah sesuatu yang sangat dihormati dan mereka tidak senang dengan sesiapa yang memperlekehkannya. Untuk itu, saya ingin memohon maaf secara ikhlas.

"Saya boleh berhujah bahawa saya tidak menganggap kenyataan saya sebagai penghinaan kepada kepercayaan masyarakat Sikh atau ia bukanlah niat saya. Tapi bukan niat saya yang penting tapi bagaimana penerimaan kenyataan saya.

"Saya juga memohon maaf kepada Amar Singh kerana walaupun saya tidak bersetuju dengannya, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina agamanya," kata Raja Petra dalam kenyataan di blognya hari ini.

Raja Petra dan Amar Singh berbalah selepas penulis blog yang tinggal di UK itu menuduh polis mencuri RM43.4 juta wang rampasan dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Amar menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan mencabar Raja Petra membuat laporan polis dan bukannya "bersemubunyi di sebalik tirai siber".

Dalam jawapan balasnya kepada Amar, Raja Petra kemudian menyentuh tentang serban Amar yang menurutnya "terlalu ketat sehingga menghalang peredaran darah ke otaknya"/

Kenyataan itu menyebabkan kemarahan di kalangan masyarakat Sikh dan laporan polis dibuat ke atas Raja Petra.

Raja Petra turut mendakwa menerima ugutan.

Sementara itu, dalam kenyataan sama di blognya, Raja Petra turut memohon maaf kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh, serta peguam Amarjit Sidhu.

"Mereka berdua, selain Manjeet Singh Dhillon dan mendiang Karpal Singh, menjadi peguam bela saya dalam pelbagai perbicaraan dan tahan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sepuluh tahun lalu pada 2008.

"Mereka juga banyak menolong saya dengan cara yang lain, yang saya tidak boleh sebutkam, dan yang membantu saya untuk tinggal di UK selepas saya meninggalkan Malaysia pada 2009.

"Dan mereka melakukan semua itu tanpa saya minta, dan tanpa minta bayaran. Saya akan selamanya terhutang budi dengan Gobind, Amarjit, Manjeet dan mendiang Karpal," katanya.

Lihat Komen