malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Proses e-undi PKR perlu tambah baik, saran calon ketua AMK
Diterbitkan:  Sep 30, 2018 2:34 PM
Dikemaskini: 6:37 AM
ADS

PEMILIHAN PKR | Proses pengundian secara digital (e-undi) semasa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu ditambah baik bagi melancarkan lagi proses pengundian dalam memilih pemimpin pusat dan cabang pada masa hadapan.

Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata beliau akan mengusulkan cadangan kepada peringkat pusat supaya mengadakan simulasi bagi proses pengundian sebelum hari pemilihan PKR.

Katanya, ini bagi memastikan kelancaran proses berikutan berlaku kesukaran kepada anggota untuk menggunakan sistem e-pengundian yang baharu dilaksanakan parti itu.

"Saya lihat untuk pengundi remaja agak mudah tetapi untuk warga emas menghadapi sedikit kesukaran.

"Yang ini saya rasa boleh diatasi kalau ada demonstrasi atau proses simulasi," katanya ketika ditemui di pusat pemilihan bagi Cabang Johor Bahru di Dewan Serbaguna Flat Larkin di Johor Bahru hari ini.

"Saya akan usulkan perkara ini, mungkin kita boleh adakan penerangan dan simulasi dua hari sebelum pemilihan kepada anggota untuk berlatih bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengundian,” kata Akmal Nasrullah, yang juga calon bagi jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.

Akmal, yang juga Anggota Parlimen Johor Bahru, berkata sistem e-undi itu tidak bermasalah tetapi kena mesra pengguna dan menyenangkan anggota PKR dari segenap lapisan masyarakat menggunakannya.

Di Johor, 38,684 anggota parti PKR disahkan layak mengundi dengan proses pengundian yang menggunakan e-undi di 24 cabang berlangsung sejak 10 pagi hingga 5.00 petang ini.

- Bernama

Lihat Komen