malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1MDB: Polis akan panggil Najib - Amar Singh
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 3:51 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh terdekat berhubung siasatan kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata PDRM memerlukan maklumat daripada Najib untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata setakat ini PDRM telah merakam lebih 70 keterangan daripada pelbagai individu berhubung siasatan dan Najib akan dipanggil lagi untuk dirakam keterangannya.

“Selain Najib, saya juga ingin mengesahkan bahawa PDRM telah memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada Selasa lepas berhubung kandungan ceramahnya mengenai 1MDB sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lepas,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Najib berdepan 21 pertuduhan kerana dakwaan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata PDRM akan memanggil isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berkaitan rampasan barang kemas yang dipercayai miliknya oleh polis pada Jun lepas.

Barang kemas itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dana 1MDB.

Selain itu, Noor Rashid juga tidak menolak kemungkinan memanggil Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat hari mulai Rabu lepas bagi membantu siasatan kes 1MDB, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen