Polis telah memanggil sejumlah pemimpin cawangan Umno dan MIC berhubung dana yang disyaki dari 1MDB yang diagihkan kepada mereka.
Menurut sumber, kira-kira 10 pemimpin Umno berkenaan dipanggil polis unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, siasatan diteruskan pagi ini dengan beberapa yang lain disoal siasat.
"Setakat ini, jumlah individu yang disiasat melebihi 30 orang dan lebih ramai dijangka akan disoal siasat kerana surat dari unit itu (yang memanggil mereka tampi) telah dihantar kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Difahamkan, selain mahu mengenal pasti sumber dana yang diagihkan kepada pemimpin cawangan berkenaan, polis juga menyiasat aset mereka.
Bagaimanapun, sumber enggan mendedahkan nama cawangan dan pemimpin mereka yang disiasat.
Sementara itu, sumber dalam Umno tidak menolak kemungkinan separuh daripada 191 bahagian parti itu sedang disiasat.
"Bila mereka (pemimpin bahagian Umno) semak sesama mereka, mereka mendapati mereka menerima surat yang sama (daripada polis).
"Jika pihak berkuasa mengesyaki dana mereka, kemungkinan polis akan membekukan dana bahagian dan ia tidak baik untuk operasi Umno," katanya.