malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Menganggap Johor mampu ditawan Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada BN bukanlah pilihan popular buat ramai orang sebelum 9 Mei lalu.

Johor tempat lahirnya sebuah parti bernama Umno. Bagi penyokong HARAPAN melihat Johor mampu dikuasai tentulah suatu impian namun – untuk mengelakkan kekecewaan – mereka enggan terlalu berharap.

Namun takdirnya Johor menjadi antara negeri yang terawal diumum jatuh ke tangan HARAPAN. Malah Datuk Seri Khaled Nordin yang menjadi menteri besar sejak selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 juga gagal memenangi dua kerusi yang ditandinginya.

Kemudian tertubuhlah kerajaan HARAPAN dengan Datuk Osman Sapian dilantik sebagai menteri besar ke-16 Johor.

Beliau bukanlah orang baru atau asing dalam politik di negeri berkenaan. Sebelum ini Osman, 66, ialah wakil rakyat bagi kawasan dewan undangan negeri Kempas sejak 1999.

Bagaimanapun nama beliau digugurkan daripada senarai calon pada PRU 2013.

Dalam temu bual eksklusif bersama Khaled di Kuala Lumpur kelmarin, beliau ditanya mengenai prestasi kerajaan HARAPAN di Johor.

Mengaku secara tak langsung

Jawapan spontan, segera dan diiringi ketawa Khaled sangat mudah: "Ada kerajaan ke?"

Apabila ketawa reda, Khaled menyambung bahawa pada umumnya kerajaan di Johor dikendalikan dari Putrajaya dan rakyat negeri itu berada dalam keadaan tertanya-tanya.

Keadaan itu katanya amat malang kerana sebagai sebuah negeri yang mempunyai potensi besar, tanpa fokus yang betul ia akan berubah menjadi negeri "yang biasa-biasa".

"Dulu matlamat BN ialah menjadikan Johor negeri nombor satu di Malaysia. Kami ada pelan khusus dan cara untuk melaksanakannya," kata Khaled.

Namun beliau bersikap realistik kerana HARAPAN masih baru di Johor.

"Kita bagilah masa..." katanya.

Selepas itu, kata Khaled, Umno akan membiarkan rakyat sendiri menghakimi prestasi kerajaan pimpinan Osman di Johor.

Ditanya mengenai isu pembangunan Forest City, Khaled berkata, ketika ini Osman sendiri mempertahankan projek berkenaan walaupun sebelum PRU ke-14 lalu ia menjadi satu daripada sasaran kritikan HARAPAN.

Langkah Osman sekarang kata Khaled secara tidak langsung menunjukkan tuduhan-tuduhan dilemparkan HARAPAN terhadap BN sebelum ini sekadar bersifat politik.

"Ia tidak bersandarkan kepada fakta," katanya.

Untuk rekod isu pemilikan hartanah di Forest City pernah menimbulkan kekeliruan apabila Osman dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Mengapa nak ke Perlis

Pada 27 Ogos perdana menteri berjanji untuk menghalang orang asing daripada membeli hartanah di projek berkenaan.

"Satu hal yang pasti, bandar yang sedang dibina itu tidak akan dijual kepada orang asing. Kerajaan tidak akan memberikan visa untuk orang datang dan tinggal di sana," katanya.

Bagaimanapun pemaju projek itu mendakwa kenyataan Dr Mahathir itu bercanggah dengan pendiriannya ketika bertemu pengasas dan pengerusi syarikat pemaju hartanah China, Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung.

"Mereka mengadakan pertemuan tertutup pada 16 Ogos 2018.

"Ketika itu, Dr Mahathir menegaskan beliau mengalu-alukan pelaburan asing yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan, mempromosikan pemindahan teknologi dan inovasi dan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," kata kenyataan dikeluarkan syarikat terbabit.


Baca Jadi MB kena berani sikit, pesan Muhyiddin


Osman kemudian berkata ada kemungkinan Dr Mahahir tidak memahami dasar kerajaan Johor berhubung projek berkenaan dan tidak mendapat maklum balas yang jelas.

Kata Khaled kerajaan BN dulu sentiasa memastikan kepentingan rakyat Johor terpelihara walaupun Forest City dibangunkan.

Misalnya kata Khaled cukai yang dipungut dari projek itu boleh dibelanjakan di kerajaan tempatan lain di seluruh negeri terbabit.

Namun kata Khaled isu itu dikelirukan oleh HARAPAN.

Khaled juga ditanya pandangannya mengenai Ketua Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad yang dilantik menggantikan beliau baru-baru ini.

Khaled pula 'diutus' Datuk Seri Dr Ahmad Zahid jauh ke negeri paling utara semenanjung untuk menjadi pengerusi perhubungan Umno Perlis.

"Saya rasa Hasni melakukannya dengan baik, sangat fokus, serius dan bertanggungjawab.

"Saya gembira dengan apa yang beliau lakukan," katanya.

Apabila ditanya sama ada beliau akan terus menjadikan Johor - terutama Pasir Gudang - sebagai tapaknya dalam politik, Khaled tidak teragak-agak mengeyakannya.

"Mengapa kamu nak halau saya ke Perlis?

"Saya bukan datang dari Perlis. Pasir Gudang ialah bahagian saya," katanya.

Wawancara 1: Umno tak boleh mabuk kuasa

Wawancara 2: Khaled terkilan Johor gagal bubar DUN berasingan


  • Wawancara ini dijalankan bersama Anne Muhammad, Hariz Mohd, Lu Wei Hoong dan Norman Goh
Lihat Komen