CEO baru Bernama akan dilantik berdasarkan kesepakatan kepimpinan Pakatan Harapan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata demikian hari ini ketika ditanya jika bekas ketua editor penerbitan rasmi DAP Roket, Wan Hamidi Hamid telah ditawarkan jawatan bos agensi berita nasional itu.
Terdapat desas-desus wartawan kanan itu akan menggantikan CEO Bernama sekarang ini, Datuk Zulkefli Salleh yang bakal bersara bulan hadapan.
Eddin berkata beliau belum berpeluang berbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengenai spekulasi itu tetapi menjangkakan akan bermesyuarat tidak lama lagi.
"Antara perkara saya belum dapat rujuk khusus dengan menteri.
"Yang Berhormat Menteri baru balik dari Jepun dan saya akan tanya esok.
Lantikan politik selaras janji HARAPAN?
"Kalau ada jawapan saya akan bagi tahu, insyaAllah," katanya selepas merasmikan majlis Pameran, Sidang, Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2018 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur hari ini.
Ketika ditanya lanjut jika lantikan politik sedemikian selaras dengan janji HARAPAN untuk kebebasan media, Eddin berkata gabungan itu membuat keputusan dengan mendapat persetujuan bersama.
"HARAPAN memutuskan perkara itu secara kolektif. Bukan mana-mana individu secara khusus. Saya percaya akan disepakati.
"Kolektif ini semua orang setuju," katanya.
Beberapa laporan berita menyebut Wan Hamidi dipilih sebagai CEO Bernama.
Ura-ura itu mendapat kritikan terhadap HARAPAN mengenai cubaan campur tangan dalam pertubuhan media milik kerajaan.
Beberapa kakitangan Bernama berkata semalam menyuarakan kebimbangan mereka jika sikap tidak berpihak agensi itu selepas pilihan raya umum 9 Mei akan ditarik balik jika Wan Hamidi dilantik ke jawatan itu.