Keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia dalam tahanan polis di Johor semalam menuntut pihak berkuasa menyiasat kejadian tersebut.
Mohd Faizal Md Yeit, 32, yang bekerja sendiri ditangkap pada 18 September lalu kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah. Semalam, dia ditemui mati di dalam lokap polis di Batu Pahat.
Abang sulungnya, Mohd Yazid, 50, memberitahu Malaysiakini bahawa punca kematian yang dinyatakan dalam laporan perubatan awal adalah "usus pecah gastrik teruk."
Bagaimanapun, Yazid berkata, adik-beradik mereka yang lain melihat lebam di bahagian abdomen dan leher Faizal ketika persiapan pengebumian.
"Isu kita tak puas hati punca kematian. Full report belum keluar.
"Tapi report awal doktor tulis gastrik tahap teruk. Usus pecah.
"Keluarga nampak kesan mencurigakan. Adik lelaki saya nampak di perut dan leher (masa persiapan kebumi)," katanya dalam temu bual telefon.
Tidak tuduh polis, cuma curiga
Yazid menjelaskan keluarganya juga kecewa kerana pihak polis hanya memberitahu isteri Faizal mengenai penahanannya selepas empat hari dia ditangkap di Yong Peng, Johor.
Faizal, yang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia setahun, dikebumikan di kampung halamannya di Paloh, Kluang malam tadi.
Yazid berkata keluarganya mungkin akan membuat laporan polis esok bagi menggesa siasatan berhubung kejadian itu.
"Akan pertimbang untuk lodge police report esok. Kemungkinan besar (akan lodge). Kita tak tuduh (polis), cuma rasa curiga," katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalel Kadir Mohd berkata, keluarga berkenaan berhak membuat laporan dan pasukan itu tidak mempunyai masalah untuk melancarkan siasatan ke atas kejadian itu.
Khalel berkata Faizal ditangkap pada 18 September lalu di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah.
Polis kemudian memperoleh perintah reman selama empat hari terhadap Faizal pada 22 September.
Majistret pergi periksa ke lokap
"Pada 23 September, si mati mengadu sakit perut dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, di mana dia diberi rawatan sebelum dikembalikan ke lokap.
"Keesokan harinya sekitar jam 10 pagi, polis mendapati dia tidak sedarkan diri di dalam selnya. Ambulans dipanggil sebelum seorang pembantu perubatan menyatakan dia telah meninggal dunia," katanya.
Khalel berkata susulan kejadian itu, polis memanggil seorang majistret Batu Pahat, yang pergi ke lokap untuk memeriksa badan si mati.
Beliau berkata majistret berpuas hati tiada tanda-tanda kecurangan.
"Bedah bedah pada si mati dijalankan pada waktu petang, di mana doktor mendapati bahawa mangsa meninggal akibat lubang ulser perut," katanya.