malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengarang Billion Dollar Whale: Jangan biar skandal terus disembunyikan
ADS

WAWANCARA | Para wartawan, dan rakyat Malaysia secara umumnya, perlu mengejar kebenaran berkaitan skandal yang berlaku walaupun ada usaha untuk menyembunyikannya dengan wang, kata pengarang bersama Billion Dollar Whale Bradley Hope.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Hope berkata usaha pihak-pihak terlibat untuk menutup skandal boleh diatasi apabila berita dan laporan mereka dibuat dengan fakta.

"Orang akan habiskan jutaan dollar untuk sembunyikan kebenaran, tetapi anda boleh atasinya jika anda membuat laporan berita dengan fakta demi fakta.

"Sentiasa kejar kebenaran dan jangan buat jangkaan apa-apa, atau biarkan bias menghalang usaha anda mendapatkan fakta. Kebenaran adalah perkara paling berharga di dunia," katanya.

Buku Billion Dollar Whale – The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World dikarang oleh dua wartawan Wall Street Journal (WSJ), Bradley Hope dan Tom Wright.

Ia berkenaan kisah-kisah syarikat pelaburan 1MDB.

Buku itu dilancarkan secara rasmi di Manhattan, New York, minggu lalu, dan pengarangnya membayangkan ia juga akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Hope berkata beliau dan Wright ketika mula membuat liputan terhadap skandal 1MDB tiada perancangan untuk menulis buku tentangnya.

"Ia (penulisan buku) datang kemudian. Kami mengambil masa kira-kira empat bulan pada musim panas lalu untuk membuat penyelidikan lanjut dan menulisnya."

Wright dan Hope telah membuat liputan berhubung skandal 1MDB sejak isu itu kali pertama menarik perhatian kira-kira tiga tahun lalu, termasuk wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang ditemui dalam akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimana Wright dan Hope memulakannya?

Hope berkata banyak juga usaha mereka yang menemui kegagalan. kedua-duanya gembira apabila saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk mendapatkan semula dana yang diselewengkan daripada 1MDB membuktikan hasil kerja mereka, dan mendedahkan "bahagian baru" dalam skandal itu yang tidak diketahui mereka.

Katanya lagi, liputan mereka bermula dengan sebuah laporang kewangan apabila Goldman Sachs mendapat untung besar daripada bon 1MDB.

Keuntungan itu menarik perhatian para wartawan.

"Tidak lama kemudian, ada beberapa laporan yang bagus oleh Sarawak Report dan New York Times yang menunjukkan sesuatu yang besar di sebalik semua itu.

"Laporan besar pertama Tom adalah tentang sebuah skandal yang hampir dilupakan, tetapi ia sebenarnya sangat penting - 1MDB telah membeli stesen jana kuasa daripada Tan Sri Ananda Krishnan dengan harga tinggi dan Ananda kemudian menyumbangkan sebahagian daripada bayaran itu kepada yayasan yang berkaitan dengan 1MDB."

Ia jelas satu mekanisme untuk 1MDB bertindak sebagai satu dana politik (slush fund), katanya.

Pendedahan berhubung RM2.6 bilion dalam akaun Najib kemudian mengubah segala-galanya dan menjadikan isu itu keutamaan mereka.

Hope berkata mereka banyak mencapai kejayaan dengan pihak Abu Dhabi dalam skandal itu.

"Ketika itu, ada rangkaian skandal yang seprti berkaitan tetapi tiada bukti. Setahun kemudian, kami menyelongkar dokumen, memberi tekanan kepada sumber dan perlahan-lahan menghubungkan semua rangkaian itu.

"Di WSJ, kami beruntung kerana dapat bekerja dengan mereka yang sangat berbakat dan mempunyai kepakaran yang berbeza-beza.

"Wartawan seni kami yang hebat, Kelly Crow membantu kami memahami perbelanjaan Jho Low dalam dunai seni. Justin Baer, yang membuat liputan terhadap Goldman Sachs pada masa itu, membantu kami mengenal pasti semua perkara-perkara yang bank terlepas pandang ketika membantu 1MDB meraih dana," Hope menjelaskan apa yang berlaku di sebalik usaha mereka.

"Tentulah kami juga tekun membaca liputan di media-media Malaysia, termasuk Malaysiakini dan The Edge.

"Saya tidak ingat satu hari pun di mana saya tidak membuat carian '1MDB' sebaik selepas bangun tidur, untuk melihat jika ada berita baru." katanya.

Walaupun Billion Dollar Whale laris di Amerika Syarikat, tindakan guaman daripada Jho Low, yang didakwa sebagai individu utama dalam skandal itu, telah membuatkan penerbit di United Kingdom bimbang untuk menerbitkannya.

Menurut Hope, undang-undang di United Kingdom berpihak kepada pihak yang rasa difitnah berbanding peranan media bebas dalam masyarakat. Bagaimanapun beliau berharap buku itu dapat dipasarkan di sana pada masa akan datang.

Berkenaan kemungkinan buku itu diadaptasi menjadi sebuah filem, Hope berkata: "Tiada komen, tetapi harapnya ada berita tentang perkara itu tak lama lagi."

Lihat Komen