Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan hari ini menyenaraikan tiga sebab utama mengapa Umno tidak seharusnya meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.
Tiga sebab utama itu, katanya, termasuk mempertahankan prinsip dan pendirian, memberi fokus kepada rejuvenasi parti dan bagi melakukan analisis serta kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Tindakan mengosongkan kerusi dengan sengaja semata-mata untuk memberikan laluan kepada seseorang mengejar jawatan politiknya sama sekali tersasar dari objektif moral sesuatu pilihan raya.
"Umno menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson. Ini bukanlah kali pertama tindakan sebegini dilakukan di negara kita," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Umno mesti memfokuskan kepada usaha melaksana dan merancakkan agenda rejuvenasi parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Katanya, tiada agenda yang lebih penting waktu ini selain daripada menjayakan usaha memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap Umno.
"Melibatkan diri dalam PRK pada waktu ini tidak akan membantu usaha reformasi parti malah akan mengheret parti ke kancah ‘politiking’ yang menyimpang dari usaha membawa pembaharuan dalam Umno," tegasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, amat penting untuk Umno melakukan analisis dan kajian mendalam terhadap tahap sokongan di semua kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara.
Dengan cara itu katanya akan membolehkan Umno merangka pelbagai strategi jangka pendek dan panjang yang khusus dan strategik kepada kelangsungan parti.
"Kajian seumpama ini juga akan membolehkan Umno mengurus peranannya dalam landskap Malaysia baru ini secara lebih berkesan.
“Berdasarkan semua alasan ini, saya berpandangan bahawa Umno tidak perlu terlibat dalam PRK Port Dickson.
"Peranan Umno adalah lebih besar dari hanya bertanding dalam pilihanraya kecil yang dilaksanakan dengan mengenepikan prinsip moral sesuatu pilihanraya itu diadakan," katanya.
Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan dan hari penamaan calon pada 29 September.