malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan dituntut tunai janji bela nasib Orang Asli
Diterbitkan:  Sep 24, 2018 8:20 AM
Dikemaskini: 12:43 AM
ADS

Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan akan memberi komitmen dan menunaikan janji untuk mengembalikan hak tanah adat dan menghormati maruah serta jati diri Orang Asli.

Pengerusi JKOASM, Tijah Yok Chopil berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menyelesaikan perkara itu seperti terkandung dalam manisfesto HARAPAN demi membela nasib Orang Asli di negara ini.

“Beberapa perkara yang telah diputuskan oleh kerajaan terdahulu seperti hanya memberi tapak rumah untuk masyarakat Orang Asli hendaklah tidak diteruskan dan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada komuniti setempat memandangkan setiap komuniti atau suku kaum mempunyai keperluan keluasan tanah yang berbeza mengikut kedudukan dan status mereka.

“Selain itu, kami meminta agar kerajaan mengotakan janji untuk mengiktiraf hak Orang Asli terutama hak tanah, hak penentuan diri, pendidikan dan pembangunan serta keadaan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, JKOASM turut menuntut supaya hak tanah dan wilayah adat Orang Asli dimasukkan secara jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tijah berkata masyarakat Orang Asli tidak seharusnya menunggu lagi untuk penyempurnaan hak–hak mereka yang selama ini telah diabaikan.

“Inilah masanya, masyarakat Orang Asli adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia, mereka harus dihormati dan diiktiraf,” tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen