malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cadangan turunkan had umur kahwin tak salah - Mufti Kelantan
Diterbitkan:  Sep 23, 2018 4:58 PM
Dikemaskini: 9:02 AM
ADS

Cadangan menurunkan had umur minimum perkahwinan kepada 14 dan 16 tahun, masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki, perlu dilihat secara menyeluruh, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata cadangan tersebut tidak salah tetapi penelitian lebih lanjut perlu dibuat selain memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan dengan mesti melalui mahkamah.

"Dalam Islam, perkahwinan dibenarkan apabila seseorang itu sudah baligh. Jadi cadangan tersebut tidak salah apa lagi generasi hari ini lebih cepat matang kerana terdedah soal kelamin lebih awal melalui kemajuan teknologi," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata semua prosedur ditetapkan mahkamah mesti dipatuhi termasuk mendapat keizinan kedua ibu bapa dan perkahwinan berlaku secara sah.

Katanya dalam sesuatu keadaan perkahwinan wajar dilakukan terutama bagi mengelak kemaslahatan kepada kedua-dua pasangan.

"Dalam konteks ini kita melihat perkahwinan mampu menjadi penyelesaian kepada masalah sosial seperti pergaulan bebas, kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata had umur minimum dalam undang-undang perkahwinan sedia ada wajar dikekalkan dan tidak perlu dinaikkan kepada 18 tahun.

Katanya perkara lebih utama adalah kedua-dua pasangan yang sudah baligh itu menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah bagi memastikan rumah tangga dapat diurus dengan baik.

Semalam, Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dipetik sebagai mencadangkan had umur minimun perkahwinan diturunkan kepada 14 dan 16 tahun, masing-masing bagi remaja perempuan dan lelaki.

- Bernama

Lihat Komen