malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Kelantan rampas pil kuda lebih RM23.6 juta
ADS

Polis Kelantan merampas lebih sejuta pil kuda yang disembunyikan dalam lima guni di sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata bahan terlarang itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran sehingga RM23.6 juta.

Bercakap kepada media hari ini Hasanuddin berkata penemuan itu dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas membuat serbuan di Kampung Banggol Setol.

"Hasil maklumat orang awam, serbuan tersebut dilakukan kira-kira jam 1. 15 pagi dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori ditangkap.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut polis menemui lima bungkusan guni dipercayai berisi bahan dadah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati setiap guni tersebut mengandungi 197 bungkusan atau bantal dengan anggaran keseluruhan 1,182,000 biji pil kuda.

"Anggaran kasar nilai pasaran dadah yang dirampas ini berjumlah RM23.68 juta," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Hasanuddin berkata, polis percaya dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran.

Katanya lagi, siasatan awal mendapat lelaki berusia 31 tahun itu ditugaskan sebagai penjaga rumah terbabit yang dijadikan tempat simpanan pil kuda berkenaan.

Menurut beliau polis percaya dadah itu disediakan untuk edaran bagi kawasan Rantau Panjang dan Kota Bharu.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula 20 September dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandotori jika sabit kesalahan, " jelasnya.

Menurut Hasanuddin pil kuda sebanyak yang dirampas itu dipercayai boleh menampung permintaan sejuta penagih.

Katanya lagi polis juga yakin sindiket terbabit mempunyai tauke sendiri dan individu terbabit sedang diburu.

"Justeru polis berharap orang ramai membantu kami membanteras kegiatan pengedaran dadah ini.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada kita sekali gus berjaya merampas bekalan dadah terbesar besar di Kelantan setakat ini," katanya.

Lihat Komen