malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis serbu rumah ibu Najib, pulang tangan kosong
ADS

Polis menyerbu kediaman ibu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, Kualan Lumpur, petang tadi.

Sumber polis berkata serbuan yang melibatkan 14 anggota itu dibuat kira-kira pada pukul empat petang - kira-kira waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan polis turut memeriksa di sebalik siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai yang disembunyikan, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Mengulas serbuan itu, ketua peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata: "Ya, kejam bagi mereka untuk takutkan wanita itu dan tak jumpa apa-apa pun di rumahnya."

Serbuan itu di saat Najib berdepan 25 pertuduhan di mahkamah berkenaan dakwaan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Najib tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan bagi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Ia berhubung wang berjumlah RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi Ambanknya, yang didakwa pihak berkuasa diselewengkan daripada 1MDB. Najib bagaimanapun berulangkali mengatakan ia sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Sebelum ini beliau turut dihadapkan dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa, berhubung RM42 juta yang ditemui dalam akaun peribadinya daripada bekas subsidiari 1MDB, SRC International.

Sarawak Report sebelum ini melaporkan Najib membayar RM17 juta kepada Yayasan Rahah Foundation - yang diasaskan ibunya - dengan wang yang didakwa berasal daripada 1MDB.

Lihat Komen