malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lokman Adam dakwa Mustapa keluar Umno kerana diugut Daim
ADS

Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Datuk Seri Mustapa Mohamed mengambil keputusan untuk keluar Umno kerana diugut oleh Tun Daim Zainuddin.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno itu mendakwa Mustapa diberi kata dua oleh Daim sama ada untuk keluar daripada parti itu atau berdepan dakwaan di mahkamah kerana menerima dana daripada bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Tok Pa diberi kata dua oleh Daim selepas beliau disoalsiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari berturut-turut berhubung dana RM2.6 bilion yang diterima Najib.

"Beliau diberitahu untuk keluar Umno atau berdepan pendakwaan di mahkamah," kata Lokman kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Mustapa dan Daim untuk mengulas dakwaan ini.

Lokman hadir bersama kira-kira 30 yang lain bagi menunjukkan sokongan kepada Najib yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) berhubung RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Najib sebelum ini berulangkali menegaskan wang RM2.6 bilion itu daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Lokman mendakwa Mustapa dan pemimpin Umno lain tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan menerima wang daripada akaun Najib itu yang digunakan sebagai dana untuk parti.

"Apa salahnya terima wang daripada Najib? Beliau presiden Umno. Salahkah untuk beliau (Mustapa) terima wang itu untuk digunakan misalnya dalam program kebajikan Orang Asli?"

Lokman turut mengecam SPRM yang menurutnya menjadi alat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa ramai lagi pemimpin dan anggota parlimen Umno yang disoalsiasat SPRM berhubung wang itu.

Ini kerana Mahathir mahu mengelakkan keadaan di mana anggota parlimen Umno menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang bakal bertanding dalam PRK Port Dickson - jika berlakunya usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri di Parlimen.

Lokman bagaimanapun enggan menamakan pemimpin Umno lain yang didakwanya turut disoalsiasat SPRM itu.

Pada malam Selasa lalu, Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli mengejutkan ramai pihak apabil membuat pengumuman keluar daripada Umno.

Ia disusuli dengan anggota parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman keesokannya.

Khabar angin bertiup mengatakan ada sejumlah lagi anggota parlimen Umno yang akan membuat langkah sama.

BacaWang songlap dari 1MDB atau derma?

Lihat Komen