malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib akan bermalam di lokap SPRM, berdepan kes RM2.6b esok
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 10:39 AM
ADS

SPRM hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah menahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes1MDB yang berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau.

Dalam satu kenyataan media, SPRM memaklumkan penahanan itu dibuat pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Najib akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

“Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok (20 September), jam 3.00 petang untuk pertuduhan di mahkamah," katanya.

Selain itu, menurut kenyataan berkenaan, SPRM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merakam percakapan Najib sebelum beliau dibawa ke mahkamah esok.

Ini bagi membantu siasatan pihak polis mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dengan penahanan itu, ini bermakna Najib akan sekali lagi terpaksa bermalam di lokap SPRM.

Esok pula akan menjadi kali ketiga Najib dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini, bekas presiden Umno itu dikenakan tujuh dakwaan berhubung syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn.

Tuduhan itu berkaitan dengan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa semasa berada menjadi perdana menteri.

Semalam, adalah dilaporkan bahawa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor juga mungkin berdepan sehingga 20 dakwaan jenayah tidak lama lagi - kebanyakannya berkaitan dengan pengubahan wang haram.

Jumaat lalu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga dikenakan empat pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM9.5 juta yang diterimanya daripada Najib.

Lihat Komen