malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Anwar juga tak mahu tergesa-gesa tubuhkan HARAPAN'
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 3:01 PM
Dikemaskini: 7:08 AM
ADS

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin menyangkal dakwaan ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan segelintir pemimpin parti lain cuba menghalang pembentukan Pakatan Harapan (HARAPAN) beberapa tahun lalu.

Beliau mendakwa kenyataan Nik Nazmi berhubung perkara itu tidak tepat, mengelirukan dan tanpa menyertakan beberapa perkara penting yang berlaku ketika itu.

"Hakikat sebenar, mereka (Azmin dan sejumlah anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR) hanya menuntut perbincangan yang lebih luas dengan pimpinan lain dan NGO. Ini kerana keputusan yang dibuat ketika itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Nik Nazmi juga gagal menyatakan pandangan kami juga dikongsi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Afif yang bertanding bagi jawatan ketua pemuda bagi pemilihan kali ini dan salah seorang yang dilihat sebagai penyokong Azmin berkata, anwar menerusi nota penjara yang dikeluarkan peguam N Surendran dan Latheefa Koya telah meminta agar pengumuman pembentukan HARAPAN tidak dibuat tergesa-gesa.

ADS

Anwar mahukan ia menjadi lebih inklusif dan mengambil kira pandangan semua parti, NGO dan tokoh masyarakat sivil agar satu pakatan pembangkang yang kuat dapat dibentuk untuk melawan BN, kata Afif.

"Nota itu dibawa keluar pada 21 September 2015, petang sebelum pengumuman dibuat. Pandangan Anwar tidak diambil kira dan pembentukan HARAPAN diumum secara tergesa-gesa keesokannya," katanya.

Beliau yang juga exco kerajaan Pulau Pinang membalas kenyataan Nik Nazmi bahawa Azmin antara lain cenderung untuk bekerjasama dengan PAS ketika itu kerana ingin mengekalkan kemenangan di Selangor.

Nik Nazmi juga mendakwa Azmin tidak yakin dengan kekuatan HARAPAN pada masa itu kerana tidak disertai PAS.

Beliau berkata ia antara sebab mengapa beliau menyokong Rafizi Ramli bagi kerusi timbalan presiden untuk pemilihan kali ini.

Afif turut menyangkal kenyataan Nik Nazmi bahawa Azmin dan pemimpin lain yang menyokongnya pada mulanya tidak senang dengan pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga "mengeluarkan kenyataan yang tidak membantu usaha itu".

"Mesyuarat pertama Mahathir dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016 telah diatur peguam dan dengan usaha Azmin sendiri," katanya.

Beliau berkata Nik Nazmi tidak sepatutnya membuat kenyatan terbuka mengenai hal dalaman parti mereka.

"Tidak patut untuk mana-mana pimpinan membuat serangan peribadi dalam persaingan pemilihan seperti yang berulangkali dilakukan terhadap Azmin," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen