malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Umno kena terima keputusan Tok Pa dengan hati terbuka
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 12:15 AM
Dikemaskini: 4:50 PM
ADS

Keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno mempunyai hikmah tersendiri kerana parti itu kini mengenali siapa pemimpinnya yang benar-benar setia.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata keputusan tersebut perlu diterima dengan hati terbuka oleh anggota Umno.

"Ini hikmah bila Umno hilang kuasa. Baru kita tahu siapa yang betul-betul setia dan istiqamah dengan perjuangan Umno dan kekal setia dengan Umno saat susah dan senang.

"Tun Mahathir (Mohamad) bekas presiden Umno dan bekas Perdana Menteri 22 tahun pun keluar parti. Inikan pula bekas ahli MT dan bekas menteri kabinet. Kena terima dengan hati terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Mengucapkan terima kasih atas jasa Mustapa kepada Umno selama lebih 40 tahun, Armand berkata beliau menghormati keputusan dibuat pemimpin yang lebih mesra dengan panggilan Tok Pa itu.

"Tapi janganlah hina parti yang banyak berjaya pada Tok Pa selama 40 tahun, parti inilah yang mengangkat Tok Pa dalam perjalanan hidup sebagai pemimpin politik.

"Harap Tok Pa jagalah hati orang-orang Umno yang setia pada parti," katanya.

Ingatkan parti lain

Sementara itu, Exco Pemuda Umno dan Ketua Pemuda Umno Segamat Bastien Onn pula berkata tindakan Mustapa tidak dapat diterima lebih-lebih lagi menjelang Perhimpuan Agung Umno.

"Beliau sepatutnya memberi contoh yang baik, apabila beliau keluar (Umno) tidak selari dengan apa yang selama ini dididik dalam parti.

"Mengapa Tok Pa tak keluar pada masa (Datuk Seri) Najib Razak tetapi sekarang baru keluar pada masa Umno genting?

"Saya ingatkan parti-parti yang nak ambil dia berhati-hati, adakah orang ini boleh diterima?" ujarnya.

Terdahulu, Mustapa yang memenangi jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti itu Jun lalu mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada parti itu.

Menurutnya beliau bertindak demikian kerana halatuju Umno kini tidak lagi selari dengan prinsip yang dipegangnya selama ini.

Lihat Komen