malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tok Pa harus letak jawatan MP jika ada maruah'
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 9:45 PM
Dikemaskini: 2:15 PM
ADS

Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii menggesa Datuk Mustapa Mohamed supaya melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Jeli susulan keputusannya keluar Umno.

Mohd Razlan berkata bekas menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri itu perlu berbuat demikian sekiranya masih memiliki maruah.

"Apa yang Tok Pa lakukan hari ini merupakan perkhianatan kepada kepercayaan parti.

"Beliau berkata tentang rejuvenasi parti walhal beliau yang seorang tua, sekian lama menjadi pemimpin parti pun bertanding pada PRU yang lepas. Lepas tu bertanding lagi sebagai ketua bahagian dan bertanding juga sebagai MT (Majlis Tertinggi Umno).

"Kalau ada maruah, sila letak jawatan sebagai ahli parlimen Jeli, sebagai manusia yang ada maruah dan berprinsip," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Mustapa berkata beliau membuat keputusan keluar Umno setelah memerhatikan lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.


Baca: Tok Pa umum keluar Umno


Mustapa yang menyandang kerusi Jeli sejak sekian lama memenangi kerusi itu dengan majoriti 6,647 undi pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau juga mendapat undi paling banyak dalam pemilihan majlis tertinggi (MT) Umno.

'Ramai MP jumpa kumpulan tertentu'

Sementara itu, menurut Razlan kini terdapat khabar angin mengatakan ramai anggota parlimen sudah berjumpa kumpulan tertentu untuk mencari 'perlindungan politik'.

"Saya juga beri ingatan kepada mana-mana ahli parlimen dan ADUN yang mahu mengikut langkah Tok Pa seperti khabar angin untuk melepaskan jawatan Ahli Parlimen ataupun ADUN.

"Mereka semua adalah pengkhianat kepada perjuangan orang Melayu dan parti Umno.

Katanya apa yang disuarakan beliau hari ini merupakan suara akar umbi Umno yang tidak pernah hilang kepercayaan kepada dasar parti itu.

"Pemimpin datang dan pergi, tapi bukan perjuangan parti, sekiranya pemimpin ada cacat, kita boleh tukar dari dalam," kata Razlan.

ARMADA: Pengumuman tepat pada waktu

Sementara itu, langkah Mustapa meninggalkan Umno disambut baik Pemuda Parti Pribumi Bersatu (ARMADA) Jeli dan Kelantan.

Ketuanya, Asran Alias berkata pengumuman ini tepat pada waktunya dan dijangka dapat mengukuhkan struktur Pakatan Harapan untuk jangka masa panjang.

"Kami juga yakin banyak lagi Yang Berhormat daripada Umno di Kelantan khususnya di Jeli akan mengumumkan keluar daripada Umno.

"Pengalaman beliau di dalam pentadbiran kerajaan selama lebih 20 tahun sangat dialu-alukan untuk membantu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.

"Pengumuman ini dijangka merubah landskap politik negara dan negeri," katanya yang mengucapkan tahniah kepada Mustapa.

 

Lihat Komen