malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mustapa Mohamed umum keluar Umno
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 8:27 PM
Dikemaskini: 3:12 PM
ADS

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Keputusan tersebut mengejutkan banyak pihak memandangkan Mustapa memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis tertinggi (MT) Umno pada Jun lalu.

Mustapa dalam kenyataannya berkata, beliau mengambil keputusan itu setelah membuat beberapa pemerhatian terhadap lanskap politik negara, hala tuju Umno dan BN serta masa depan negara.

"Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

"Tidak ada tanda-tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini," katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa itu.

Menurut Mustapa, beliau berpendapat Umno selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk kekal relevan.

"Secara prinsipnya, pendirian politik saya adalah Umno harus menjadi sebuah parti yang inklusif, moderat dan berhaluan tengah.

"Umno mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengenepikan kepentingan kaum dan agama lain.

"Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk," jelasnya.

Bagaimanapun Mustapa berkata, hala tuju Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik beliau selama ini dan tidak banyak usaha dibuat untuk melakukan proses rejuvenasi dalam parti itu.

"Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Jeli, Kelantan dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat untuk Umno, dari kepimpinan parti sehinggalah akar umbi.

"Insya-Allah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang," katanya.

Keputusan Mustapa meninggalkan Umno bermakna bilangan anggota parlimen daripada parti itu kini tinggal seramai 50 orang - jumlah yang sama dengan anggota parlimen PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setiausaha agung parti itu Tan Sri Annuar Musa akan mengeluarkan kenyataan esok.

Umno memenangi 54 kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-14, namun empat anggota parlimen mengumumkan keluar parti.

Tiga lagi ialah anggota Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Anggota Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen