malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kahwin kanak-kanak: Kenyataan TPM boleh jadi lesen pedofilia - LFL
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 6:25 PM
Dikemaskini: 11:14 AM
ADS

NGO Lawyers For Liberty (LFL) berkata maklum balas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail boleh menjadi lesen kepada pedofilia untuk memangsakan kanak-kanak dengan menikahinya.

"Kenyataan TPM ini akan menjadi lesen kepada pedofilia di seluruh negara untuk menyesuaikan diri (mangsa untuk persediaan seksual), memujuk atau memaksa kanak-kanak supaya 'berkahwin' untuk tujuan bersetubuh dengan mereka," katanya.

"Terdapat asas yang kuat untuk polis menyiasat persediaan seksual kanak-kanak, seperti laporan yang menyebut kanak-kanak ini telah mengenal lelaki berusia 44 tahun itu untuk 'beberapa bulan' sebelum menikah.

"Oleh itu, peluang untuk persediaan seksual kanak-kanak telah berlaku. Sesiapa yang mengikuti, memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan niat seksual telah melakukan kesalahan persediaan seksual di bawah Seksyen 12, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOAC)," kata Latheefa Koya daripada LFL.

Peguam itu juga berkata walaupun lelaki berkenaan berkahwin di bawah undang-undang syariah ia tidak membebaskan daripada dipersalahkan di bawah jenayah persedian seksual pedofilia.

Dapat kelulusan undang-undang syariah

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata para pegawainya sedang berada di Kelantan bagi bertemu gadis berusia 15 tahun yang bernikah dengan seorang lelaki berumur 44 tahun.

New Straits Times hari ini melaporkan mengenai perkahwinan kanak-kanak itu yang berlangsung di Masjid Kampung Laut di Tumpat pada Julai lalu dan mendapat kelulusan mahkamah syariah.

Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata manakala pegawainya di Kelantan bagi meneliti perkara itu, terdapat batasan undang-undang kerana kementeriannya perlu mematuhi peraturan negeri.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan rasa kesal terhadap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana tidak mengutamakan program perlindungan sosial kepada kanak-kanak miskin.

"Suhakam percaya kemiskinan akan berterusan selagi perkahwinan kanak-kanak dibenarkan dan perkahwinan kanak-kanak akan membawa kepada pertambahan keganasan terhadap anak gadis ini, peningkatan kadar kematian ibu (akibat proses kehamilan) serta malahan melebarnya jurang pendidikan antara kanak-kanak daripada latar belakang sosial dan ekonomi yang berbeza.

"Adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk melindungi semua kanak-kanak dari eksploitasi," kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam suatu kenyataan hari ini.

Lihat Komen