malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Exco Melaka: Jangan takut pecat penjawat awam bermasalah
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 4:59 PM
Dikemaskini: 9:21 AM
ADS

Exco Melaka Kerk Chee Yee hari ini berkata kerajaan tidak sepatutnya bimbang untuk memecat mana-mana kakitangan awam yang tidak melakukan tugas mereka dengan baik atau berkelakuan buruk.

"Ia akan menjadi isu politik jika kerajaan hari ini mahu memecat penjawat awam apabila kebanyakan orang tidak faham alasan untuk berbuat begitu.

"Ramai mengaitkan kesan sosial kepada tindakan kita apabila pegawai kerajaan diberhentikan - kesan terhadap kewangan kakitangan berkenaan, keluarga, yuran sekolah anak-anak dan sebagainya.

"Bagaimanapun, adakah kesan sosial kepada masyarakat kurang teruk apabila seseorang penjawat awam tidak melaksanakan tugas dengan baik atau berkelakuan buruk?" soalnya dalam kenyataan media hari ini.

ADUN Ayer Keroh itu berkata kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memberi jaminan bahawa bilangan penjawat awam tidak akan dikurangkan.

Bagaimanapun katanya selepas empat bulan mengambil alih kerajaan persekutuan, beliau tidak melihat banyak perubahan berlaku dalam sektor awam.

"Memang benar Pakatan Harapan telah dipilih sebagai kerajaan persekutuan, serta kerajaan negeri di banyak negeri.

"Memang benar walaupun kita telah mengubah kebanyakan ahli politik yang tidak kita sukai, (tapi) budaya dan tadbir urus yang gagal masih berlaku di kalangan beberapa penjawat awam," katanya yang merupakan Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka

Beliau berkata, kelewatan penerimaan gaji pegawai menteri sehingga 3 bulan lamanya dan arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memadamkan papan tanda tulisan Cina di Muar adalah contohnya gagalnya tranformasi dalam pentadbiran awam.

Tambahnya, beliau sendiri menerima panggilan daripada orang ramai yang mengadu mengenai sampah tidak dikutip selepas PRU, rumput yang tidak dipotong dan kerja-kerja lain yang diabaikan kakitangan PBT.

"Saya bukan sahaja merujuk kepada 'Napoleon kecil' dalam perkhidmatan awam.

"Saya tidak menulis kenyataan ini kerana semata-mata mahu memecat kakitangan awam yang mensabotaj kerajaan baru kerana perbezaan politik atau sebab lain.

"Saya menyentuh mengenai isu yang lebih besar yang kita hadapi dalam mentransformasikan perkhidmatan awam," katanya.

Lihat Komen