malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: Tandatangan 'surat bukti derma' Najib bukan milik putera Arab
Diterbitkan:  Sep 17, 2018 10:19 AM
Dikemaskini: 2:35 AM
ADS

Surat yang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak rujuk sebagai "bukti" bahawa berbilion wang yang didepositkan ke dalam akaunnya adalah "derma" bukan ditandatangani oleh nama putera Arab yang tertera, lapor The Edge Weekly hari ini.

Meskipun surat itu ditandatangani oleh Saud Abdulaziz Al-Saud, laporan itu mendakwa dokumen berkenaan sebenarnya disediakan dan ditandatangani oleh individu bernama Mohammad Abdullah Al Koman.

Mohammad Abdullah mendakwa dia adalah wakil kepada Putera Saud Abdul Azizi Majid Al Saud.

"Mohammad Abdullah memberitahu penyiasat bahawa dia adalah orang yang menyediakan dan menandatangani surat berkenaan bagi pihak putera Arab itu," kata laporan itu, yang menambah Mohammad Abdullah tidak dapat memberi butiran lanjut berhubung pemindahan wang kepada Najib kerana melibatkan "kepentingan keluarga diraja Arab Saudi".

"Dalam kata lain, Mohammad Abdullah memberitahu pasukan penyiasat Malaysia bahawa mereka perlu percaya bahawa surat itu datang dari keluarga diraja Arab Saudi.

"Sumber berkata bahawa selepas perjumpaan dengan Mohammad Abdullah, penyiasat menyimpulkan bahawa 'tidak selamat untuk mengesahkan wang berkenaan datang dari Blackstone dan Tanore adalah derma oleh Arab Saudi, kerana masih tidak jelas dan kekurangan dokumen yang menyokong kenyataan itu'," tulis laporan itu.

Mohammad Abdullah juga menyifatkan Eric Tan Kim Loong, pemilik Blackstone dan Tanore, sebagai "rakan sekutu yang boleh dipercayai".

Tan sebelum ini juga digambarkan sebagai rakan rapat ahli perniagaan Low Taek Jho, salah seorang watak utama dalam skandal 1MDB. Low juga dikatakan merujuk Tan dengan nama lain.

Jabatan Keadilan AS dalam saman sivil mengenal pasti bahawa dana Blackstone dan Tanore berasal dari 1MDB.

Menurut laporan itu lagi, terdapat tiga surat lain yang menggunakan nama 'Saud Abdulaziz Al-Saud' yang masing-masing berkaitan wang yang didepositkan ke akaun bank Najib.

Jumaat lalu, polis mengumumkan telah mengenal pasti sekurang-kurangnya AS$972 juta dimasukkan ke akaun peribadi Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.

Pada Ogos 2015, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, mendakwa telah berjumpa "ketua pegawai pelaburan" keluarga Arab Saudi yang didakwa Najib mendermakan wang itu kepadanya.

Susulan pertukaran kerajaan pada 9 Mei lalu, Zahid disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Julai berhubung perjumpaan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen