malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Membaca tanda dan makna dari Kuala Terengganu
ADS

ULASAN | Apakah Terengganu akan mencatat sejarah baru pascapillihan raya umum (PRU) dengan kewujudan 'batu bersurat' kedua - dan simbolik - sebagai wadah terukirnya sejarah baru di bumi Malaysia ini?

Bayu dari Laut China Selatan seperti sedang menyampaikan khabar dan sesuatu sempena muktamar tahunan PAS kali ini.

Tanpa kehangatan daripada bahang pertandingan, penulis menghidu hal asyik dan maksyuk nan mengujakan selepas dua hari pemimpin, perwakilan dan pemerhati berkumpul di bumi Darul Iman ini.

Selayaknya pasangan bercinta - memetik kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - orang yang sedang berkasihan akan saling berkata-kata walaupun jasad mereka terpisah antara satu sama lain.

Walau tubuh berjauhan, hati pasangan yang sedang dilamun keasyikan asmara sentiasa terasa amat dekat.

Apabila cuba diselami ungkapan itu, ada daya penarik dapat dirasakan sepanjang dua hari yang berlalu. Ia mungkin boleh diibaratkan umpama bunga-bunga cinta yang semakin mekar. Kuntum-kuntum pun lalu kian mewangi.

Ada banyak pentunjuk agak jelas di sebalik hal-hal yang seperti sengaja dikaburkan. Ia bagai seorang suami sedang menyembunyikan hadiah buat kejutan hari lahir isteri tersayang, atau seumpama seorang lelaki sedang bersiap siaga melamar gadis yang dicintainya.

Bukan cuma sedondon

Hari ini, Muktamar PAS Pusat akan berlangsung dan seiring dengan waktu ia perlahan-lahan menuju kemuncaknya. Banyak hal yang akan menjadi tumpuan. Antaranya kehadiran rombongan pemimpin Umno.

Sebetulnya ia adalah Umno yang baru, atau lebih tepat Umno yang cedera selepas mengharungi PRU pada 9 Mei lalu.

Terdahulu, rombongan Pemuda dan Wanita Umno sudah tiba lebih awal. Mereka hadir dalam ramah dan semangat yang hangat untuk memeriahkan muktamar Pemuda dan Muslimat PAS.

Datangnya mereka bukan saja-saja. Mereka datang berjemput. Kena dan cocok benar adabnya.

Ia memadamkan perselisihan serta perbezaan ideologi yang selama ini diuar-uarkan oleh pemimpin kedua-dua parti.

Hari ini Umno dan PAS bukan lagi dimaknakan dengan pakaian yang sedondon. Sedondon atau tidak, ia bukan persoalan pokok kerana yang penting ialah 'hati'.

Biarlah baju yang terpakai di badan berbeza warna, corak atau gaya. Apa yang paling penting ialah fikrah dan matlamat yang boleh disepakati untuk menjadi sama.

Sekurang-kurangnya sama nasib, iaitu menjadi pembangkang.

Begitu juga perlu didengari dan dicermati segala pesan dibicarakan barisan pemimpin PAS kepada perwakilan pelbagai peringkat.

Ada isyarat yang kurang lebih membawa maksud supaya bersedia, berlapang dada dan walak terhadap apa juga keputusan yang mungkin diputuskan kepimpinan tertinggi parti sehari dua ini.

Orang muda hangatnya kena ada

Dan setiap pesanan itu disampaikan dengan nada lembut. Mungkin lebih lembut dan memujuk berbanding sapaan angin Laut China Selatan itu.

Kata orang, pokok takkan bergoyang jika tidak angin yang bertiup. Di Kuala Terengganu hari ini dan esok, bidalan itu bukan sekadar tentang angin, pokok dan goyang.

Perlu diteliti juga ialah dari manakah datangnya angin itu? Ia penting kerana arah angin berkenaanlah yang akan menentukan lentok liuk pokok itu nanti.

Semalam, perwakilan di Muktamar Pemuda PAS membayangkan darah muda mereka tidaklah sejuk berpanjangan walaupun agak lama juga hangatnya tidak kelihatan.

Ia gara-gara isu hubungan parti berkenaan dengan Umno, dan apakah yang mengikat kemesraan berkenaan - sama ada bersifat tahaluf atau taawun saja.

Perlu diingat, tahaluf PAS sebelum ini berakhir dengan kisah sedih. Dalam istilah bercinta, pelamin yang diimpikan akhirnya musnah dibadai rasa.

Hanya selepas itu PAS menemukan kaedah taawun yang lebih lunak, tidak mengikat dan rupa-rupanya - setakat ini - membawa bahagia yang merata-rata.

Usul dibawa Pemuda PAS Kota Raja mengenai status hubungan PAS dan Umno itu diterima dan dibahaskan. Panas jugalah sedikit muktamar pemuda semalam.

Usul itu diterima - selepas dibahaskan - hanya selepas dilakukan sedikit pindaan secara teknikal.

Petanda dari kata-kata

Dengan isyarat yang dihantar melalui usul itu, bukankah ia menampakkan ilham untuk bertahaluf itu sebenarnya ada dalam benak sesetengah orang?

Memanglah ada pihak yang kurang senang kerana mereka berpendapat bermesra di bawah bayangan taawun itu lebih sesuai buat PAS.

Timbul juga tanda tanya, apakah usul bertahaluf itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada rancangan lebih besar yang sudah dipersiapkan secara rapi.

Tahaluf ini bukan isu biasa-biasa. Ia boleh mengundang riak di air tenang. Situasi pula boleh menjadi rumit. Rambut - suka atau tidak - perlu ditarik tanpa menumpahkan tepung.

Petunjuk-petunjuk itulah yang membuat muktamar kali ini semakin menarik untuk diperhatikan kesudahannya.

Agak jelas agenda itu sedang dibancuh dengan adunan rapi dan spontan bagi menjelmakan sesuatu hasil yang utuh.

Cuba perhatikan sebahagian petikan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, apabila beliau menyentuh isu istiqamah dan walak terhadap keputusan pimpinan parti.

Sementelah juga nada amanat disampaikan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, dengan sulaman kisah pergulatan anjing yang berebut tulang serta kemunculan serigala.

Di pentas realiti politik musuh utama PAS kini bukan lagi Umno sebaliknya parti-parti kerajaan dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Gambaran lebih relevan juga dapat dikesan melalui kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang memberi bayangan satu gabungan baru bakal lahir tanpa BN.

Justeru, siri petunjuk itu boleh diambil untuk kita bingkaikan kemungkinan yang akan lahir daripada muktamar PAS ini. Sekurang-kurangnya kalau memang berlaku sesuatu yang besar, kejutan yang dialami tidaklah terlalu besar.

Dalam politik, keputusan luar biasa adalah perkara biasa.

Apa yang lebih penting, perkembangan yang dinanti-nantikan ini adalah bukti bahawa perkembangan politik di Malaysia sentiasa mengalir seirinng dengan perubahan.

Ia satu proses bukan sahaja mematangkan ahli politik sebaliknya mencerna pemikiran rakyat secara tidak langsung.

Buah bidara di atas perahu,
Nelayan cekal mudik ke muara;
Jika tok guru kata begitu,
Sudilah hamba berlapang dada.

Wallahua'lam.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen