malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sokongan terhakis jika Anwar terima tawaran Nazri, kata Ramkarpal
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 3:46 PM
Dikemaskini: 9:30 AM
ADS

Seorang ahli parlimen DAP hari ini tampil memberi amaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang akibatnya sekiranya beliau menerima tawaran bekas menteri Umno, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz untuk berkempen bagi pihaknya pada pilihan raya kecil Port Dickson.

Ramkarpal Singh berkata adalah salah bagi PKR dan Pakatan Harapan untuk menerima seteru mereka, yang jelas mempunyai motif tersembunyi dalam menghulurkan bantuannya.

Beliau mengulas hasrat Nazri untuk Umno kembali menjadi kerajaan persekutuan.

"Nazri lazimnya lantang mengkritik HARAPAN ketika berada di dalam kerajaan dan hanya mengubah pendiriannya sekarang apabila tidak lagi. Tidak dapat dinafikan bahawa Nazri adalah seorang oportunis.

"Mengapa tidak terima (bekas perdana menteri) Najib (Razak) sebagai sebahagian daripada kempen jika dia menawarkan sokongannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata bahawa Anwar akan melakukan kesilapan besar jika beliau menerima tawaran Nazri.

"HARAPAN atau PKR akan mengecewakan pengundi dengan menerima sokongannya. Mereka mengundi kerajaan baru. Mereka tidak mahu orang seperti Nazri berada dalam kerajaan baru.

"Anwar akan melakukan kesilapan besar dan sokongannya akan merosot jika dia beliau menerima Nazri membantu kempennya. Harap-harap, akibatnya dia tidak kalah,” katanya.

Semalam, bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan berkempen untuk Anwar pada pilihan raya kecil Port Dickson kerana beliau percaya ia adalah yang terbaik untuk Umno bagi memastikan parti itu kembali ke dalam kerajaan.

"Saya tidak jangka Umno akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tapi terdapat pendapat di kalangan anggota parlimen Umno bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin.

"Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR... Jadi kita perlu tunjuk niat baik jika kita, jika kita ingin jadi kerajaan, biarkan Anwar menang," katanya.

Rabu lalu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan mengosongkan kerusi Port Dickson untuk membuka laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali ke Parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen