Kastam Diraja Malaysia sedang mengkaji kemungkinan mengurangkan bilangan jeti persendirian di negara ini yang didapati antara penyumbang utama kegiatan penyeludupan.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pihaknya sedang berbincang dengan agensi berkaitan untuk melihat sama ada jeti-jeti terbabit masih relevan untuk digunakan atau perlu dibatalkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan khususnya rokok dan minuman keras.
“Saya tidak nafikan jeti-jeti tersebut diperlukan tetapi ia bukanlah untuk membawa masuk barangan komersil. Kegunaan jeti-jeti ini adalah untuk membawa masuk barangan pembinaan ataupun barangan pukal yang tidak dapat dibawa masuk menerusi pelabuhan-pelabuhan biasa,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Sibu, di Sibu, Sarawak hari ini.
Beliau berkata langkah merupakan sebahagian usaha drastik kastam dalam memperkukuh kawalan di laluan yang sering berlaku penyeludupan.
Menurutnya pada masa ini terdapat puluhan jeti persendirian di seluruh negara dengan sebahagian diluluskan oleh kastam dan sebahagian lagi oleh agensi kerajaan negeri.
Ditanya mengenai 304 unit senjata api bernilai RM1.5 juta yang dibeli sejak 2015 tetapi gagal dimanfaatkan berikutan tiada kelulusan lesen daripada pihak polis, Subromaniam berkata mereka sedang menunggu kelulusan daripada pihak polis.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan lalu, objektif pembekalan senjata api berkenaan tidak tercapai kerana perolehannya dilaksanakan sebelum mendapat kelulusan lesen daripada Polis Diraja Malaysia.
- Bernama