malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM tahan Shafee, dijangka didakwa di bawah AMLA
Diterbitkan:  Sep 13, 2018 8:24 AM
Dikemaskini: 5:59 AM
ADS

Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sering mewakili kes-kes Umno dan BN akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki yang berkata  bahawa Muhammad Shafee akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan Muhammad Shafee ditahan di lapangan terbang Subang awal pagi tadi dan di bawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur bagi memberi keterangan.

Beliau dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta untuk didakwa berhubung aliran wang tunai yang masuk ke dalam akaunnya yang disyaki mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Pada 7 September lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan peguamnya sudah menyerahkan afidavit yang ditandatangani oleh pegawai Jabatan Peguam Negara mengesahkan dakwaan pembayaran dibuat kepada Muhammad Shafee.

Anwar mendakwa pembayaran sebanyak RM9.5 juta itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara September 2013 sehingga Februari 2014.

“Umum mengetahui bahawa Muhammad Shafee bertindak sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan terhadap pembebasan saya bermula Julai 2013 sehingga selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

“Saya mengulangi bahawa Muhammad Shafee tidak sepatutnya dibenarkan bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu. Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara dan lebih ganjil lagi yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib,” katanya.

Sehari kemudian, Muhammad Shafee menafikan menerima bayaran RM9.5 juta daripada akaun bank peribadi Najib. Katanya beliau sudah menafikan tuduhan berkenaan seperti direkodkan dalam afidavit pada 3 Ogos 2017 dalam kes saman Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mereka yang didapati bersalah mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLA boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen