malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemaju: Pegawai kata Forest City 'terlalu mahal' bukan jurucakap rasmi
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 1:02 PM
Dikemaskini: 5:11 AM
ADS

Pemaju projek Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) berkata pegawai syarikat itu yang dipetik The Washington Post dalam laporannya bukanlah jurucakap rasmi dan tidak pandangannya tidak mewakili syarikat itu.

Syarikat itu merujuk laporan bertarikh 10 September lalu - yang dipetik Malaysiakini semalam - yang antara lain memetik pegawai itu sebagai berkata projek tersebut diakui terlalu mahal untuk warga Malaysia.

Pegawai itu juga mengakui keadaan kini tegang ekoran campur tangan kerajaan dalam projek di Johor Bahru itu.

"CGPV terkejut kerana The Washington Post tidak memberikan kami ruang untuk komen terhadap perkara sensitif yang dibangkitkan laporan itu terlebih dulu.

"Kami terbuka untuk berhubung dengan mereka untuk menjelaskan perkara itu dari sudut pandang kami atau berkenaan maklumat yang diperolehi wartawan mereka," kata CGPV dalam kenyataan hari ini.

Laporan itu juga menyentuh soal warga tempatan yang tidak mahu melihat "rakyat China mengambil alih tanah Malaysia".

"Mereka tidak suka dengan cara kita berniaga. Jelas bahawa harga hartanah itu terlalu mahal untuk rakyat Malaysia dan kita memang menyasarkan kepada rakyat China," katanya seperti dipetik.

CGPV berkata pembeli bukan warga China - dari Singapura dan Malaysia - semakin bertambah di projek Forest City, dan pihaknya juga mula menyasarkan pembeli dari negara lain, antaranya Hong Kong, Macau, Taiwan, Indonesia dan Dubai.

"setakat ini, asas pelanggan kami bersifat pelbagai dan daripada hampir 30 negara dan kami menjangka ia akan terus meningkat pada masa akan datang," katanya.

Syarikat itu berkata mereka kini sedang mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa dari kementerian perumahan dan kerajaan tempatan Malaysia.

Lihat Komen