malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Lelaki rakam skirt wanita bebas dengan ikat jamin polis'
Diterbitkan:  Sep 11, 2018 6:01 PM
Dikemaskini: 10:03 AM
ADS

Bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman yang didakwa dilihat merakam imej bawah skirt wanita di sebuah kedai cermin mata telah dilepaskan dengan jaminan polis, kata satu laporan.

The Star memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur mengesahkan tertuduh telah dilepaskan.

Beliau dilaporkan berkata suspek merupakan seorang lelaki dalam usia 40an dan ditangkap kira-kira jam 1 tengahari semalam sebelum dibebaskan malam tadi.

"Saya boleh sahkan dia dilepaskan dengan ikat jamin polis.

"Kami sedang menyiasat lanjut perkara ini," beliau dipetik berkata.

Laporan itu berkata polis juga menggesa sesiapa yang memiliki maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat kanan Asst Supt Azrizal Khairul Abd Kadir pada talian 019-2769117 atau menelefon ibu pejabat polis daerah Sentul di 03-40482233.

Insiden itu dikatakan berlaku pada pagi 8 September ketika pekerja di kedai cermin mata itu sedang memeriksa mata Mohd Azis.

Video CCTV merakam perbuatan seorang lelaki yang menemani timbalan menteri merekod imej daripada bawah skirt wanita terbabit menggunakan telefon bimbit ketika pekerja itu sedang berinteraksi dengan timbalan menteri itu. Video tersebut telah tersebar di media sosial.

Dalam kenyataan selepas kejadian itu dilaporkan, Mohd Azis berkata telah memecat pegawai terbabit.

Lihat Komen