malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tian Chua balas Rafizi: PKR sudah jadi kongsi gelap?
Diterbitkan:  Sep 10, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 10:55 AM
ADS

Naib Presiden PKR Tian Chua mendakwa Rafizi Ramli cuba merancang pilihan raya kecil untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rahsia.

Beliau berkata ia bertentangan dengan apa yang sering disuarakan Rafizi sebelum ini tentang keperluan untuk Pakatan Harapan bersikap terbuka dan mengutamakan konsensus.

"Sebelum ini anda tak habis-habis bercakap tentang keterbukaan, ketelusan dan kebenaran. Tapi kini boleh pula mendakwa beberapa orang terpilih boleh membuat keputusan besar untuk parti tanpa berunding dengan orang lain dalam kepimpinan.

"Ini parti demokratik atau kongsi gelap?" katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Dalam satu program di Kota Bharu Jumaat lalu, Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata seorang anggota parlimen parti itu akan meletakkan jawatan minggu ini bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Susulan itu, Chua mengkritik Rafizi kerana membuat dakwaan itu memandangkan perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh pimpinan PKR.

Semalam, Rafizi dilaporkan berkata sebahagian "keputusan penting tidak dibincangkan dengan semua orang dan hanya diselesaikan dengan beberapa orang di kalangan kita", mencetuskan bidasan daripada Tian Chua hari ini.

Hari ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail - yang dilihat sebagai dekat dengan Rafizi - berkata kawasan yang akan ditandingi Anwar akan diumumkan Rabu ini.

Tian Chua juga membangkitkan semula tindakan Rafizi mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuat keputusan secara sepihak.

"Bukankah ini orang sama yang mengkritik perdana menteri kerana buat keputusan sepihak dalam pelantikan kabinet dan dasar tanpa berudning dengan pimpinan Pakatan Harapan?" soalnya.

Kempen agresif

Beliau merujuk kenyataan Rafizi berikutan keputusan Mahathir untuk melantik Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Isu rancangan PRK untuk Anwar muncul di saat Rafizi dan kemnya berkempen dengan agresif untuk meyakinkan anggota parti agar mengundi mereka untuk memimpin parti itu.

Rafizi yang akan melawan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden kini giat mengadakan jelajah menjelang pemilihan PKR yang akan bermula 22 September ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen