malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Sabah akan kenal pasti kawasan bina empangan
ADS

Kerajaan negeri Sabah akan mengenal pasti beberapa kawasan untuk pembinaan empangan bagi memastikan bekalan air di negeri ini mencukupi dalam tempoh 50 tahun akan datang, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata untuk melaksanakan perkara itu satu kajian mendalam akan dilaksanakan lokasi pembinaan empangan itu di tiga lokasi iaitu Tambunan, Papar, dan Kota Belud.

"Kita tahu cadangan pembinaan di Kaiduan, Papar mempunyai masalah. Oleh itu kita akan mengenal pasti beberapa kawasan untuk pembinaan empangan agar bekalan air kita mencukupi di masa akan datang.

"Kalau tiada air di masa hadapan nanti banyak orang akan buat demonstrasi. Oleh itu kita perlu selesaikan masalah bekalan air khususnya generasi kita di masa hadapan," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Hari Malaysia anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), di Kota Kinabalu hari ini.

Turut hadir, Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Mengulas mengenai forum itu, Mohd Shafie berkata forum itu sangat bertepatan untuk menjadi platform untuk percambahan pendapat dalam membincangkan dokumen seperti Perjanjian Malaysia 1963.

"Saya harap forum ini dapat diteruskan di masa hadapan kerana ia sangat penting untuk kita mengetahui apa yang tersirat dalam dokumen berkenaan," katanya.

Beliau berkata kerajaan baru Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) akan memastikan hak Sabah dapat terus dipertahankan.

​​​​​​Sementera itu, Pemangku Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata forum berkenaan bertujuan untuk memahami kandungan dokumen seperti MA63.

"Forum ini dilaksanakan setiap tahun sempena Hari Malaysia dan forum ini telah diadakan sejak lima tahun lepas. Forum ini sangat penting untuk memastikan kita dapat memahami dokumen yang sangat penting seperti MA63.

Melalui forum ini kita dapat melihat bagaimana kerajaan melaksanakan MA63... kita perlu tahu bahawa MA63 adalah dokumen yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan perkara yang terkandung dalam dokumen itu sangat serius," katanya.

- Bernama

Lihat Komen